≡ Menu

Kita Sama, Kita Juga Berbeza

laki n pmuan

Tak aci! Lelaki boleh. Perempuan tak boleh, keluh seorang remaja wanita apabila dinasihati ibunya agar tidak memakai baju berlengan pendek ketika keluar rumah.
 
“Mana adil! Orang perempuan boleh senang-senang duduk rumah,” rungut hati seorang remaja lelaki apabila ayahnya mengajak ke
masjid.
 
Lelaki dan perempuan ada yang sama dan berbeza. Bukan sama atau berbeza secara mutlak. Antara aspek yang sama adalah dari segi nilai kemanusiaan. Kedua-duanya perlu dilayan sebagai seorang manusia. Bukan dipandang seperti syaitan yang hanya ada keburukan atau malaikat yang perlu sempurna dan tiada dosa.
 
Seterusnya aspek bertanggungjawab terhadap dosa dan pahala sendiri sama ada Ielaki mahupun perempuan. Kedua-dua Ielaki dan perempuan akan pulang menemui Allah dan disoal amalan masing-masing. Bukan lelaki sahaja yang akan disoal. Bukan juga perempuan sahaja yang akan disumbat ke neraka.
 
Antara aspek perbezaan pula dari segi beberapa tuntutan peranan. Ada pembahagian tugas masing-masing daripada Allah s.w.t. Contohnya, tuntutan dalam penampilan. Wanita mesti menampakkan kewanitaannya. Lelaki mesti menampakkan kelelakiannya. Oleh sebab itu, dalam hal berpakaian, berdandan dan berhias, tidak sama antara lelaki dengan perempuan.
 
Wanita dan lelaki saling memerlukan. Isu wanita perlu diambil berat oleh lelaki dan begitu juga lelaki perlu mengambil berat tentang isu wanita. Jika konsep dan kedudukan wanita tidak difahami olehgolongan lelaki, ia akan menatijahkan ketempangan pemahaman dan persepsi. Sukar untuk saling menguatkan apabila diterjah banyak prasangka tanpa ilmu yang benar.
 
“Apalah perempuan ni, pakai tudung berwarna-warni. Ini tabarruj,” sangka lelakitanpa asas ilmu yang jelas tentang maksudtabarruj. Banyak khilaf mengenainya. Ulama bermanhaj pertengahan mentakrifkan tabarruj sebagai sengaja mendedahkan perkara yang sepatutnya ditutup.
 
“Lelaki ini tidak pakai jubah, tidak mengikut sunnah,” bisik hati seorang perempuan tanpa asas ilmu yang jelas tentang konsep berpakaian mengikut sunnah.
 
Pakaian yang ditunjukkan oleh sunnah ialah pakaian yang prinsipnya menutup aurat, pelaksanaannya fleksibel mengikut ‘urf atau adat.
 
Apabila Salah Persepsi
 
Tuduh-menuduh, label-melabel, hukum-menghukum seumpama ini senang disaksikan terutamanya di alam maya oleh remaja atau dewasa. Semuanyaberpunca daripada salah persepsi atau menganggap orang lain memahami seperti yang kita faham. Apa yang kita fahami pula boleh jadi banyak tafsiran dan penjelasannya, bukan hanya ada satu maksud.
 
Tatkala lelaki dan perempuan saling memiliki persepsi yang berbeza tentang kedudukan, peranan, dan tanggungjawab, mereka sukar serasi dalam pelbagai urusan termasuklah urusan rumah tangga, kemasyarakatan, kenegaraan dan pelbagai bentuk dakwah secara umum.
“Anak perempuan perlu duduk rumah sahaja,” tegas seorang ayah.
 
Tapi Islam membenarkan wanita menuntut ilmu. Saya ingin belajar hingga PhD,” rayu anak gadis remajanya.
 
“Anak wajib mentaati ayah!” Si ayah “mengunci” mulut anak gadis dengan kuasa vetonya.
 
Persepsi yang benar dan komunikasi berkesan dapat menyelesaikan masalah seumpama ini. Wacana yang pertengahan sering kali mampu mendamaikan banyak sengketa dalam isu-isu wanita tatkala berhadapan dengan perbezaan pendapat.
 
Orientasi kemudahan menjadi watak syariat Islam secara keseluruhan. Berbahagialah ayah yang memudahkan anaknya. Berbahagialah anak yang memudahkan ayahnya.
 
Isu Purdah
 
“Ramai lelaki fasiq sekarang. Wanita yang tidak pakai purdah sengaja mempamerkan kecantikan,” lontar satu pendapat.
 
Pendapat lain pula mengatakan:“wanita dibolehkan mendedahkan muka dan tapak tangan. Jika ada lelaki tergoda, lelaki itulah yang perlu menundukkan pandangannya. Bukan wanita itu yang diwajibkan mengenakan purdah. Kecantikanwanita subjektif. Setiap pandangan mempunyai  tafsiran berbeza. Isiam menyuruh wanita menutup aurat, tetapi bukan dengan cara yang menyusahkannya.”
 
Berpurdah adalah satu cara berpakaian yang baik dan menutup aurat. Oleh sebab kita perlu memilih antara yang baik dengan yang terbaik, penulis lebih selesa mengambil pandangan golongan yang mempertimbangkan pelbagai perkembangan realiti zaman ini. Ia sangat berbeza dengan realiti pada zaman kenabian. Contohnya, dahulu wanita bermusafir dengan unta tetapi hari ini wanita bermusafir dengan kapal terbang.
 
Penulis meraikan pendapat yang berbeza ini. Mana yang perlu dipilih? Pendapat kedua lebih jelas hujah shar‘iyyah dan realistik. Syariat Islam tidak berorientasikan kesulitan pada konsep dan aplikasinya kerana ia tidak bertepatan dengan misi besar kehadiran Islam sebagai rahmat bagi semesta alam. Penulis tetap akui, setiap pilihan ini insya-Allah masih tetap dalam daerah pahala.
 
Memilih Pandangan yang Mudah
 
Para ulama Islam sejak dahulu sehingga kini mempunyai banyak pandangan terhadap isu-isu lelaki dan perempuan. Kita pula harus memilih. Penulis lebih tenang memilih pendapat yang moderat, sebagaimana orientasi syariat Islam yang menganjurkan umatnya mengambil yang mudah, bukan yang susah.
 
Firman Allah s.w.t., mahfumnya: “Allah menghendaki kemudahan bagimu dan Dia tidak mengehendaki kesulitan bagimu.”(Surah al-Baqarah 2: 185)
 
Allah juga memujuk rasa hati kita dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan Dia sekali- kali tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu bebanan dan susah payah dalam agama.” (Surah al-Hajj 22:78)
 
Ada pendapat yang membincangkan tentang keterlibatan wanita dalam aktiviti kemasyarakatan. “Tempat wanita di rumah Kami ada dalil al-Quran. Wilayah wanita hanyalah untuk domestik kekeluargaan. Wanita jangan muncul di media, TV dan radio kerana ia sama dengan wanitaberpelesiran di mana-mana,” lontar satu pendapat.
 
Pendapat ini membuatkan anak gadis dan remaja wanita di pusat pengajian tinggi keliru tentang masa depannya. “Perlukah kami belajar sehabis baik sedangkan kami hanya perlu menggunakan ilmu rumah tangga untuk masa depan? Perlukah kami menyambung pelajaran hingga ke peringkat tertinggi?”
 
Mungkin pendapat kedua ini ada jawapannya. “Wanita sejak zaman Rasulullah dibolehkan keluar dari rumahnya selagi ada keperluan yang makruf dan aman daripada fitnah. Kenapa kita bersangka buruk terhadap wanita yang muncul dalam media sebagai sedang berpelesiran?
 
Padahal kita boleh bersangka baik bahawa dia sedang menunaikan tuntutan amar makruf dan nahi mungkar. Dakwah itu luas cara dan medannya, dengan perbuatan, kata-kata, lisan atau tulisan, bahkan dengan gambar, video dan media juga,” lontar pendapat lain. Sayidina Umar berpesan: “Jangan kamu bersangka buruk terhadap kalimat orangMuslim, padahal engkau dapat membawanya kepada makna yang lebih baik lagi.”
 
Ja‘far bin Muhammad menyatakan: “Jika sampai kepadamu sesuatu yang engkau ingkari tentang saudaramu, maka carilah satu uzur  (kelemahan) baginya sehingga 70 uzur. Jika tidak, katakan: ‘Mungkin dia mempunyai uzur yang aku tidak ketahui.”‘
 
Kerjaya dan Kepimpinan Wanita
 
“Wanita tidak perlu berkerjaya. Wanita jangan menjawat jawatan penting dalam sesuatu organisasi. Wanita hanya perlumenjaga anak dan mentaati suami, cukuplah. Dia sudah ada tiket ke syurga,” lontar satu pendapat.
 
“Islam tidak menyekat secara mutlak kepimpinan wanita. Siapa cerdik, dialah berhak memimpin tidak kira lelaki atau perempuan. Cuma, jawatan tertinggi dalam negara diberi kepada lelaki. Begitu juga jawatan tertinggi dalam sesebuah keluarga dipikul oleh lelaki. Wanita merupakan separuh daripada anggota masyarakat. Sudah tentu masyarakat sangat memerlukan tenaga dan sumbangannya dalam sesuatu kerjaya, asalkan wanita itu tahu batas dan adab,” lontar pendapat lain.
 
Nabi memberi petunjuk: “Sebaik-baik urusan agamamu adalah yang paling mudah.” (Riwayat al-Tabarani)
 
Aisyah r.ha. memberitahu: “Rasulullah s.a.w. tidak dihadapkan kepada pilihan antara dua perkara, kecuali Baginda memilih yang lebih
mudah asalkan bukan dosa (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
Pendapat yang kedua ini bagi penulis lebih relevan dengan keperluan pergerakan dakwah kontemporari kerana zaman dan keadaan berubah. Ia menuntut penyertaan wanita Muslimah dalam pelbagai lapangan yang sesuai dengan fitrahnya. Peranannya tidak hanya terbatas dalam domestik keluarga, bahkan jika ada kepakaran dia boleh terjun dalam aktiviti sosial kemasyarakatan, ekonomi, politik dan pemerintahan serta amar makruf dan nahi mungkar. Bukan untuk menyaingi lelaki, tetapi memenuhi keperluan masyarakat.
 
Cantiknya Allah menetapkan dan mengadun setiap perkara dalam kehidupan ini dengan pelbagai ramuan. Ada persamaan. Ada perbezaan. Ada yang disepakati. Ada yang dibenarkan berbeza. Siapa yang lebih berbaik sangka kepada Allah dan orang lain, dialah yang akan lebih bahagia, insya-Allah.

Comments

0 comments… add one

Leave a Comment




Next post:

Previous post: