≡ Menu

Syukur Kita Dapat Melihat

mata

Blupp!!! Sambungan elektrik terputus tepat pada jam 11 malam. Kita menoleh ke kiri dan ke kanan. Gelap-gelita.
 
Dengan berhati-hati kita melangkah sambil kedua-dua tangan diluruskan ke hadapan, bimbang takut terhantuk pada dinding atau terlanggar perabot. Dengan perlahan-lahan kaki kita melangkah, takut-takut tersaduk. Memori kita bekerja keras untuk mengingati susunan perabot di dalam rumah, lokasi tangga dan barang-barang lain agar tidak terlanggar.
 
Destinasi kita hanya satu, iaitu untuk mencari cahaya atau apa-apa sahaja yang boleh menghasilkan cahaya. Kenapa kita perlukan cahaya? Ini kerana mata kita tidak berfungsi tanpa cahaya. Nikmat mata hilang seketika apabila ketiadaan cahaya. Ketika itulah kita berasa sangat berharga deria ini sehingga kita benar-benar gelisah meskipun ia hilang seketika. Kita mungkin tidak menyedari keistimewaan deria ini sehinggalah ia hilang seketika.
 
Tanpa kita sedari, mata kita terus berfungsi mengikut keperluan kita, melebihi apa yang kita minta dan harapkan. Di saat kita keluar dari rumah dalam suasana yang sangat terang, tanpa diminta saiz anak mata kita secara automatik mengecil untuk mengurangkan jumlah cahaya yang masuk. Begitu juga sebaliknya apabila kita bergerak dari tempat terang ke tempat yang redup atau gelap.
 
Apabila jari kita tertusuk duri kecil, pasti kita akan cuba untuk memberi fokus pada duri itu. Kita hanya ingin fokus, namun kerja yang dilakukan oleh mata adalah sangat rumit tanpa kita sedari. Kanta yang terletak di belakang iris mampu menyesuaikan diri mengikut jarak objek yang ingin kita lihat. Dengan bantuan otot-otot di sekelilingnya, kanta mata mampu mengubah bentuknya untuk disesuaikan dengan sudut objek yang difokus, agar imej yang terhasil jatuh tepat pada retina. Semakin dekat objek yang kita hendak lihat, maka kanta tersebut menjadi semakin cembung agar imej yang dilihat sentiasa jelas.
bola mata
 
Mata yang Begitu Istimewa
 
Dalam masa beberapa saat yang lepas, kira-kira 1 bilion operasi telah berlaku di dalam mata kita. Bayangkan bagaimana struktur yang kompleks ini hanya terletak di dalam sebuah ruang yang kecil sahaja di badan kita.
 
Lokasinya yang sesuai membolehkan kita mengawal pergerakan badan kita dengan sempurna dan optimum. Bayangkan bagaimana sekiranya mata dijadikan di lutut, atau lebih teruk lagi di buku lali. Tentu sekali ini akan menyukarkan segala aktiviti harian kita termasuklah berjalan, makan dan memandu.
 
Di samping diletakkan pada kedudukan yang sesuai, mata kita juga diletakkan di tempat yang paling tepat dan sempurna di muka. Adakah ada tempat lain yang lebih sesuai berbanding tempat sekarang seperti di bawah hidung? Lokasi mata sekarang ialah tempat yang terbaik untuk kita melihat dengan baik dan juga sebagai kesempurnaan wajah.
 
Tidak diragui mata merupakan antara organ yang paling sensitif dan paling rumit pada badan kita dan mungkin yang paling menakjubkan. Ia menjadi jendela kepada otak kita untuk melihat dunia. Kira-kira 4/5 maklumat yang diterima oleh otak adalah daripada mata.
 
Charles Darwin, pengasas teori evolusi juga mengakui akan kehebatan organ ini. Dia pernah menyebut mata adalah salah satu daripada cabaran terbesar kepada teori dangkalnya itu.
 
Beliau berkata: “Mata serta komponen-komponennya yang sangat rumit, susah untuk dihuraikan kejadiannya mengikut teori natural selection (pemilihan semula jadi berasaskan ciri-ciri yang baik). Saya benar-benar akui ia satu ciptaan yang hebat.” (On the Origin of Species, hlm. 190)
Beliau juga pernah berkata: “Jika saya teringat akan kejadian mata, ia membuatkan saya menggigil kesejukan.”
 
Mata manusia sememangnya sangat unik dan rumit. Ia terdiri daripada kira-kira 40 sistem yang bekerjasama dengan sempurna, termasuklah iris, pupil (anak mata), kornea, kanta, retina, urat saraf dan sebagainya. Sebagai contoh, retina mempunyai kira-kira 130 juta sel yang amat sensitif pada cahaya. Sel-sel ini ada yang berbentuk rod berfungsi untuk memberikan gambar hitam dan putih pada objek yang dilihat, manakala yang berbentuk kon mentafsir warna-warna selain hitam dan putih.
 
Sekiranya salah satu sistem tersebut gagal berfungsi, maka ia akan menjejaskan keseluruhan proses penglihatan, menyebabkan mata tidak mampu untuk melihat. Sebagai contoh, bebola mata jika tidak mengalirkan air untuk melembapkan mata, pasti mata akan menjadi kering dan akhirnya merosakkan mata. Begitu juga apabila kanta mata kita rosak. Pastinya menyebabkan cahaya tidak dapat memasuki mata dan keseluruhan mata akan menjadi segumpal tisu yang tidak berguna.
 
Setakat ini belum ada lagi saintis yang mampu mencipta mata tiruan yang boleh melihat seperti mata biasa. Jantung tiruan yang mampu berdegup sudah dicipta, kaki dan tangan tiruan yang mampu bergerak juga sudah ada, namun belum ada lagi mata tiruan yang boleh melihat seperti mata yang Allah s.w.t. kurniakan.
 
Bagaimana Kita Boleh Melihat?
 
Apabila kita melihat sesuatu objek, cahaya daripada objek tersebut bergerak menembusi lapisan kornea, pupil (anak mata) dan seterusnya kanta. Apabila sampai di retina, sel-sel yang amat sensitif kepada cahaya akan menukarkan cahaya kepada signal elektrik untuk dihantar ke dalam otak.
Imej yang terpampang pada retina adalah terbalik, namun otak kita mampu menyesuaikannya. Dua imej dari sudut yang berbeza yang diterima oleh mata kiri dan kanan akan dicantum oleh otak untuk menghasilkan satu imej dalam bentuk tiga dimensi sepertimana yang kita lihat. Otak kita juga menilai bentuk, warna dan juga jarak dengan jitu. Semua proses ini berlaku kurang daripada 1/10 saat.
 
Realitinya, kita sedang berhadapan dengan banyak fakta-fakta penting. Mata terdiri daripada banyak lapisan termasuk retina, iris, pupil, kanta, kornea, saraf-saraf yang menghubungkan ke otak dan juga pelbagai struktur yang lain. Semua struktur tersebut bekerja serentak apabila kita ingin melihat sesuatu objek. Jika ada salah satu yang rosak, maka keseluruhan sistem akan menjadi rosak dan kita tidak akan dapat melihat apa-apa.
 
Teruskan Syukur kepada Allah
 
Adakah kita pernah menjadi buta dalam hidup kita, sama ada selepas pembedahan mata atauselepas kemalangan jalan raya? Saat itu mata kita dibalut sementara waktu untuk merawat luka agar ia cepat sembut. Jika ada (minta dijauhkan), tentu sekali kita akan benar-benar menghargai nikmat dan tahu nilai sebenar mata kurniaan Allah s.w.t. itu.
 
Kita akan berasa tidak ada kurniaan fizikal yang lebih mahal selain daripada penglihatan ini. Kita akan berasa sangat gembira sebaik sahaja kain pembalut yang menutupi mata kita dibuka dan kenikmatan itu benar-benar akan dirasai untuk hari seterusnya.
 
Jangan lupa! Setiap kali kita membuka mata, setiap imej yang kita lihat adalah sesuatu yang patut kita syukuri kepada nikmat Allah s.w.t. yang tidak terkira itu.
 
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dengan keadaan tidak mengetahui apa-apapun, lalu Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran, penglihatan serta hati (akal) supaya kamu bersyukur.”(Surah al-Nahl16:78) Wallahu a’lam.

Comments

0 comments… add one

Leave a Comment




Next post:

Previous post: