≡ Menu

Taubat Itu Sukar

Sedih

Bandingkan antara dua orang ini seorang meninggalkan solat Subuh dengan sengaja, manakala seorang lagi kehilangan dompetnya. Orang yang meninggalkan solat Subuh tidak berasa menyesal pun atas kesalahannya sekalipun ada hadis yang menyatakan, orang yang meninggalkan solat dengan sengaja diancam dengan kekafiran. Sebaliknya, individu yang kehilangan dompet duit berasa amat menyesal.
 
Mengapa terjadi perbezaan ini? Mengapa perbuatan meninggalkan solat Subuh tidak menimbulkan rasa penyesalan seperti kehilangan dompet?Menyesal ialah rasa hati. Ia bukan boleh dibuat-buat. Ia muncul secara autopilot tanpa perlu difikirkan lagi. Jika ada, ada… Jika tiada, tiada… Ini soal hati kerana hati tidak boleh dipaksa atau dilakonkan.
 
Menyesal merupakan antara syarat-syarat bertaubat. Walaupun nampak mudah yakni hanya menyesal, namun bukan mudah untuk rasa menyesal. Ia timbul secara spontan apabila hati dan akal mempunyai ilmu dan keyakinan yang sudah sebati dan serasi. Jika hati seseorang tidak benar-benar yakin akan akibat dosa, maka tidak mungkin dia berasa menyesal.
 
Hadirnya Penyesalan
 
Bagaimana rasa menyesal boleh timbul dalam hati seseorang? Ia timbul kerana kehilangan atau terlepas sesuatu yang dirasakan sangat bernilai dalam hidup. Seseorang yang merasakan wang begitu bernilai, akan menyesal apabila kehilangannya. Sebaliknya bagi seseorang yang Iain, dia akan menyesal apabila terlepas solat Subuh kerana dirasakan solat itu sangat bernilai.
 
Mengapa penilaian seseorang boleh berbeza? Ia ditentukan oleh faktor keimanan serta keyakinan seseorang kepada Allah, malaikat dan rukun-rukun iman yang lain. Bagi Muslim sebenar, apa-apa sahaja hal yang berkaitan dengan keimanannya dianggap sangat bemilai. Justeru, apa-apa sahaja yang boleh menambahkan imannya, pasti akan diusahakan. Manakala, apa-apa sahaja yang boleh mengurang keimanannya, akan dipinggirkan.
 
Iman terletak di hati. Hatilah yang menimbulkan rasa kesal, takut, cinta, rindu dan sebagainya. Apabila iman bersemi di hati, akan menimbulkan rasa menyesal di hati atas dosa yang dilakukan. Sebaliknya apabila iman rapuh, dosa tidak akan memberi apa-apa kesan di hati. Jadi, taubat adalah soal hati. Jika pintu hati terbuka dengan ilmu dan iman, barulah seseorang boleh bertaubat. Sebaliknya jika hati tertutup, tidak akan timbul penyesalan lalu tiadanya taubat.
 
Daripada Ibn Mas‘ud r.a., Rasulullah s.a.w. menggambarkan yang bermaksud: “Sesungguhnya, orang Mukmin memandang dosa-dosanya seperti orang yang berdiri di bawah gunung. Dia (sentiasa) berasa takut bahawa gunung tersebut akan menghempapnya. Orang keji pula memandang dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya dan berkata: ‘Dengan hanya begini (iaitu ditepis dengan tangan sahaja), maka mudah sahaja lalat itu terbang.” (Riwayat al-Bukhari)
 
Rasa menyesal atas dosa-dosa hanya boleh timbul kerana ilmu dan iman seseorang. Seseorang yang jahil tentang impak dosa terhadap kehidupannya tidak akan menyesal apabila melakukan dosa dan maksiat. Begitu juga orang yang lemah imannya, pasti akan meremehkan dosa. Bagi orang yang berilmu dan beriman, dosa dirasakan umpama racun dan penghalang dalam kehidupannya di dunia dan akhirat. Sekiranya mereka melakukan dosa secara sengaja ataupun tidak sengaja, maka timbul penyesalan di hati yang mengerakkan seluruh anggotanya untuk menebus kesalahan tersebut, itulah taubat.
 
Justeru, seruan untuk bertaubat adalah kepada orang beriman. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha (semurni-murni taubat). Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa batang sungai.” (Surah al-Tahrim 66:3 )
 
Ubah Suasana, Cari Teman Sealiran
 
Bertaubat akan menjadi sukar walaupun hati ingin melakukannya jika suasana luar tidak membantu dan teman sealiran ?ada. Sebaik-baiknya, carilah suasana yang tidak menggoda mahupun mengingatkan kita kepada dosa-dosa yang pernah dilakukan di tempat tersebut. Contohnya, peminum arak hendaklah menjauhi premis-premis menjual arak yang pernah dikunjunginya. Begitu juga penzina mesti menjauhi daripada segala elemen yang boleh menggodanya semula untuk berzina seperti tempat pelesiran, filem lucah, buku-buku porno dan sebagainya.
 
Begitu juga perlu dijauhi rakan-rakan yang masih belum insaf dan ingin terus hidup dalam maksiat. Agama seseorang mengikut agama temannya, begitulah maksud hadis berikut yang bermaksud: “Seseorang itu menurut agama teman terdekatnya. Hendaklah kamu melihat orang yang menjadi teman terdekatnya.” (Riwayat Abu Daud)
 
Teman jahat sewajarnya digantikan dengan teman sealiran yakni yang sama-sama ingin menempuh jalan taubat. Inilah keberkatan berjemaah. Pasti akan ada nasihat teguran dan doa daripada teman sealiran yang menempuh jalan taubat.
 
Jika terpaksa memutuskan hubungan dengan individu yang memang berusaha untuk menyesatkan kita, maka putuskannya. “Bakarlah jambatan” dengan semua perkara, tempat, suasana dan individu yang menggoda kita untuk kembali menderhaka kepada Allah. Inilah yang dilakukan oleh seorang sahabat bernama Ka‘ab bin Malik sewaktu pihak kafir menghantar surat untuk memujuknya kembali kafir ketika dipulaukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Surat pujukan tersebut terus dibakar oleh beliau.
 
Amalan Hati dan Anggota
 
Setelah timbul penyesalan, suasana yang kondusif dan teman sealiran untuk bertaubat, apa yang perlu dilakukan? Hendaklah seseorang yang ingin bertaubat tersebut berhenti serta-merta daripada melakukan dosa tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Jangan sekali-kali menceritakan dosa yang pernah dilakukannya kepada orang lain. Tutup telinga daripada mendengar cerita-cerita berkaitan dosa tersebut sekalipun dilakukan oleh orang lain.
 
Tidak cukup sekadar itu dia mesti melakukan dua bentuk amalan baik, iaitu:
 
1.) Amalan hati
 
Hendaklah dia terus menyesal dengan dosa
yang dilakukannya walaupun telah menempuh jalan taubat. Bermujahadahlah menutup keinginan untuk mengulanginya lagi. Inilah fasa yang paling sulit kerana maksiat itu sangat manis dan disukai oleh hawa nafsu. Hati orang yang bertaubat juga perlu dikawal daripada rasa sombong kerana mampu bertaubat. Jangan timbul perasaan riyak, ujub dan sum‘ah atas kemampuan itu. Sebaliknya, semailah rasa khauf (takut kalau-kalau taubat tidak diterima Allah) dan raja’(berharap agar Allah menerima taubat tersebut).
 
2.) Amalan pancaindera
 
Hendaklah berusaha melakukan sebanyak-banyak amal kebaikan untuk bertaubat daripada dosa, contohnya:
 
1. Berwuduk dan menunaikan solat sunat taubat
 
Abu Bakar r.a. berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ‘Tidaklah bagi seorang lelaki yang melakukan dosa akan bangun, membersihkan diri (berwuduk), menunaikan solat (solat sunat taubat dua rakaat) dan kemudian meminta ampun kepada Allah dengan beristighfar melainkan Allah akan memberikan keampunan baginya.” (Riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud)
 
2. Memperbanyakkan istighfar
 
Pintalah keampunan kepada Allah secara terus-menerus dengan beristighfar. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Demi Allah, sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah dan bertaubat kepadaNya setiap hari lebih daripada 70 kali.” (Riwayat al-Bukhari)
 
Sedangkan Rasulullah s.a.w. tidak berdosa dan merupakan insan maksum, ini pula kita sebagai umat Baginda yang berdosa. Maka, tindakan ini wajib diikuti. Justeru, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya, aku bertaubat kepada Allah sebanyak 100 kali setiap hari.”(Riwayat Muslim)
 
3. Melakukan amal kebajikan
 
Tutupilah dosa silam dengan kebajikan yang kita lakukan sekarang. Jangan diburu perasaan bersalah sehingga timbul rasa kecewa, murung dan patah semangat untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang Muslim. Syaitan licik menipu manusia sehingga penyesalan atas dosa-dosa menjadikan seseorang itu berputus asa daripada rahmat Allah. Jangan bersikap sebegitu, sebaliknya jadikan penyesalan sebagai dorongan untuk terus maju ke hadapan tanpa jemu dan lesu.
 
Sayidina Umar r.a. pernah berkata: “Aku telah melakukan pelbagai amal soleh untuk menghapuskan kesalahanku.” Dapat kita lihat bahawa sudah tentu beliau sangat memahami maksud hadis ini: “Sesungguhnya, perumpamaan orang yang melakukan kejahatan kemudian mengerjakan perkara kebaikan seperti seorang lelaki yang memakai baju perang besi yang sempit sehingga mencekiknya. Apabila dia melakukan amalan kebaikan, maka terbukalah satu lubang, kemudian dia melakukan kebaikan lain dan terbukalah lubang lain sehinggalah terbuka kesemuanya dan ia jatuh ke atas tanah.” (Riwayat al-Tabarani)
 
Kesukaran yang Sementara
 
Ya, taubat itu sukar jika tiada ilmu, iman dan amal. Imam al-Ghazali rhm. menyatakan: “Taubat yang dilakukan tanpa adanya pendahuluan akan terasa berat. Oleh sebab itu, dalam bertaubat terdapat tiga pendahuluan.
 
1. Menyedari bahawa dosa itu amat buruk.
 
2. Menyedari dan ingat betapa kerasnya hukuman dan kemurkaan Allah yang tidak dapat manusia hadapinya.
 
3. Menyedari kelemahan dan kurangnya tenaga untuk menghadapi kesemuanya itu.”
 
Bayangkan, jika sekadar terik panas matahari, cucuhan mancis yang terbakar, gigitan semut dan pukulan penjahat, kita sudah berasa sakit, bagaimana dengan seksa api neraka yang berganda-ganda dahsyatnya? Dengan mengingat semua itu, akan mudahlah untuk kita bertaubat. Sesukar mana pun untuk kita bertaubat, jauh lebih sukar menanggung akibat tidak bertaubat. Orang yang bijaksana tentunya sanggup menerima sedikit kesusahan dan sementara di dunia demi menempuh jalan taubat daripada terpaksa menanggung kesusahan yang lebih sukar dan berkekalan di neraka akibat tidak bertaubat.
 
Justeru, apa lagi yang menghalang kita untuk bertaubat selain melupakan atau tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat? Orang sebegini bukan sahaja tidak mahu bertaubat, malah mengejek dan menghina orang yang bertaubat. Sebaliknya, bagi mereka yang yakin dengan azab neraka dan kemurkaan Allah, itulah yang mendorongnya untuk melaksanakan taubat nasuha!
 
Ingat, taubat itu sukar, tetapi tidak bertaubat jauh lebih sukar!

 

Comments

0 comments… add one

Leave a Comment




Next post:

Previous post: