“Dan untuk Sulaiman dikumpulkan bala tenteranya terdiri dari jin, manusia dan burung lalu mereka berbaris dengan tertib. Hingga ketika mereka sampai ke lembah semut, berkatalah seekor semut: “Wahai semut-semut! Masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan bala tenteranya sedangkan mereka tidak menyedari.” Maka dia (Sulaiman) tersenyum lalu tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa: “Ya Tuhanku! Anugerahkanlah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar mengerjakan kebajikan yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.”Surah An-Naml ayat 17-19
Semut Yang Rajin Dan Bekerjasama
Semut. Kerjanya menghimpun makanan tanpa henti. Siang malam pagi petang dia berusaha tanpa rehat. Belum pernah dilihat seekor semut terbaring keletihan. Dia hanya diusung oleh teman-temannya apabila dia mengalami kesakitan ataupun setelah mati. Selebihnya ia akan bekerja, bekerja dan bekerja. Tahukah anda, semut boleh menghimpun makanan untuk bekalan yang amat lama sedangkan usianya tidaklah lebih lama daripada banyaknya bekalan makanan yang boleh dihimpunnya itu.
Semut-semut penganyam adalah tukang jahit yang mahir. Mereka menyambung daun-daun dengan menariknya daripada dua bahagian dan menjahit daun-daun ini bersama. Dengan cara ini, mereka membuat rumah yang baik untuk diri mereka. Semut mempunyai jenis yang lebih banyak daripada hidupan-hidupan yang lain.
Daripada setiap 700 juta semut yang dilahirkan ke dunia, hanya terdapat 40 kelahiran manusia. Dengan kata lain, jumlah semut-semut di dunia ini adalah jauh lebih tinggi daripada manusia.
Kehebatan sifat-sifat semut tidak berakhir di sini sahaja. Walaupun, berjuta-juta mereka tinggal bersama, mereka tidak mempunyai sebarang masalah di antara mereka, tidak ada kekeliruan atau kecamukan. Mereka hidup di dalam kehidupan yang begitu terancang di mana setiap mereka mematuhi peraturan.
Semut mempunyai 500,000 sel saraf yang termuat dalam 2-3 milimeter tubuh mereka. (Harun Yahya)
Istimewanya Makhluk Allah Ini.
Cuba perhatikan kehidupan masyarakat semut. Teknologi, kerja gotong-royong, strategi ketenteraan, jaringan komunikasi yang maju, hierarki yang rasional dan cerdik, disiplin, perencanaan kota yang sempurna dan pelbagai ciri lain yang amat istimewa untuk di ambil. Semut berkomunikasi dengan isyarat kimia iaitu semiokemikal zat kimia yang digunakan semut untuk tujuan menetapkan komunikasi (Feromon). Semut yang paling berbahaya adalah semut bulldog hitam dari Australia, bisanya mampu membunuh manusia.
Semua spesies semut, yang jumlahnya mencapai kira-kira 8.800 spesies, mencari makanan dan membawanya pulang dengan cara yang berbeza-beza. Dalam spesies-spesies tertentu, semut berburu sendirian dan membawa pulang makanannya masing-masing. Spesies lain berburu berkelompok dan membawa serta menjaga makanannya bersama-sama.