≡ Menu

Sejarah Universiti Al-Azhar Mesir

Antara barang yang cepat Sold Out dan berebut rakyat marhaen beli Lihat Sini

Kaherah merupakan ibu negara Mesir. Umurnya telah menjangkau lebih seribu abad. Bangunan-bangunan lama masih terus didiami, lorong-lorong gelap penuh dengan sampah-sarap, lopak-lopak air dan pelbagai lagi keadaan yang menggambarkan betapa berusianya bandar ini. Walau bagaimanapun, situasi ini seakan tidak teras, hilang terselindung di sebalik gemerlapan sinar mutiara agung Mesir, al-Azhar, sebuah gedung ilmu yang terkenal di seluruh dunia.



Seluruh pelusuk dunia mengetahui al-Azhar adalah pusat ilmu yang melahirkan profesional Islam yang sering mengocakkan kealpaan jahiliyyah. Segala isu atau permasalahan masyarakat dapat diselesaikan oleh mereka. Pihak musuh sememangnya memendam dendam kesumat melihat semua ini dan sentiasa merancang pelbagai strategi untuk menjatuhkan al-Azhar di kaca mata masyarakat. Semenjak dahulu lagi, al-Azhar didatangi oleh para pelajar dari serata dunia seperti China, Eropah, India dan lain-lain. Semakin hari al-Azhar semakin berkembang dan semakin ramai tokoh-tokoh pemikir Islam yang sejati dilahirkan bermula zaman pemerintahan kerajaan Fatimiyyah lagi.


Mengikut catatan sejarah silam, Khalifah Aziz Billah telah menubuhkan universiti Islam yang pertama di dunia iaitu al-Azhar. Mengikut lembaran awal sejarah, tertera bahawa tanggal 6 Julai 969 Masihi merupakan satu tarikh agung bagi negara ini. Kaherah dibuka dengan rasminya dan dijadikan sebagai ibu negara Mesir. Lebih kurang setahun selepas itu, 4 April 970 Masihi bersamaan 24 Jamadil Awal 359 Hijrah, kerja-kerja pembinaan masjid al-Azhar mula dijalankan. Pembinaan masjid dimulakan oleh Jauhari as-Saqoli, seorang panglima yang gagah perkasa pada zaman Fatimiyyah. Usaha mulia ini selesai pada hari Jumaat, 22 Jun 972 Masihi bersamaan 7 Ramadhan 361 Hijrah. Pada hari Jumaat yang bersejarah inilah, solat Jumaat yang pertama didirikan di masjid berkenaan. Pada tahun 378 H (988 M), seorang wali kerajaan Abbasiyah di Mesir, Ya’kub bin Kals telah mencadangkan kepada pemerintah zamannya, Khalifah al-Aziz Billah untuk menjadikan masjid tersebut sebagai Jamiah, institusi pendidikan yang menawarkan pelbagai bidang ilmu pengetahuan.  Bermula dari tarikh tersebut, ramai umat Islam yang berduyun-duyun ke kawasan tersebut. Masjid itu dinamakan Jami’ al-Azhar.
Mercu Azan

Masjid al-Azhar mempunyai tiga mercu azan. Walaupun rupa dan bentuk mercu ini berbeza di antara satu sama lain, namun pintu gerbang al-Azhar tetap tampak terserlah dengan kewujudan ketiga-tiga mercu tersebut.  Mercu-mercu ini dibina pada tiga zaman. Mercu di sebelah kiri pintu gerbang dibina pada zaman pemerintahan Sultan Qaitbay, sementara yang sebelah kanan didirikan pada 1501 Masihi oleh Sultan Qansuh al-Ghauri, sultan terakhir pada zaman Kesultanan Mamalik.  Kemudiannya pada kurun ke-18, satu lagi mercu dibina oleh al-Amir Abdul Rahman. Semenjak itu, kekallah al-Azhar dengan tiga mercu azan. Setiap mercu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri hasil daripada paduan seni tiga zaman kesultanan Islam.  Gempa Bumi di Mesir  Sekitar tahun 1315 Masihi bersamaan 702 Hijrah, satu bencana alam yang dahsyat telah berlaku. Banyak kerosakan dan kerugian harta benda terpaksa ditanggung oleh rakyat dan kerajaan Mesir. Al-Azhar juga kehilangan sebahagian besar binaannya ketika gempa bumi tersebut. Namun kerja pembaikan dijalankan dan kali ini keluasannya bertambah beberapa kali ganda. Pada detik inilah bermulanya pengajian di Masjid al-Azhar dan Madrasah al-Tibrisiah merupakan madrasah pertama yang didirikan. Ia diasaskan oleh al-Amir Tibris bin Abdulah al-Waziri, seorang ketua tentera pada zaman Sultan al-Mansur. Beliau meninggal dunia pada 719 Hijrah dan jenazah beliau dikebumikan di madrasah tersebut.


Cemburu musuh al-Azhar meluap-luap melihat al-azhar. Kenapa ? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana sasaran dan objektif al-Azhar satu hari nanti akan menghancurkan mereka. Pada Oktober 1798, terjadi satu pemberontakan besar yang pertama dalam sejarah Mesir gara-gara menentang penempatan baru penjajah Perancis di tanah zaitun ini. Ketua jihad ini terdiri daripada syeikh-syeikh al-Azhar yang bersemangat. Antaranya Syeikh Sulaiman Jausuqi dan Syeikh Mauruqi. Tragedi ini berlaku di persekitaran al-Azhar dan Hussein. Apa yang menyakitkan hati ialah pemusnahan ribuan kitab oleh penjajah Perancis. Namun Islam tidak akan berdiam diri apabila diperlakukan sedemikan rupa. Pada tahun 1800 M, bangkit manusia berhati singa dari al-Azhar yang bernama Sulaiman al-Halbi dan beliau membalas dengan menumpahkan darah Cilber, ketua Perancis di Kaherah kerana perbuatannya sekali-kali tidak dimaafkan oleh Islam.  Selepas itu, tercatat sekali lagi sejarah apabila buat pertama kalinya orang-orang Mesir memilih hakim di kalangan Azhari. Muhammad Ali Hakiman, hakim lulusan al-Azhar dilantik pada tahun 1805 dan beliau berjaya menentang Inggeris yang lancang menghina al-Azhar. Lanjutan daripada itu, Mesir dihimpit krisis permusuhan tiga segi pada tahun 1956 dalam masa pemerintahan Jamal Abdul Nasser. Sekali lagi al-azhar memainkan peranan yang penting. Selepas tamat krisis itu, Mesir berada di dalam keadaan aman dan nama al-Azhar semakin mekar di jambangan dan harumnya tersebar ke serata dunia.
Al-Azhar di Zaman Pemerintahan Ayyubiyah (567-648 H)(1171-1250 M)  Salahuddin Yusuf bin Ayyub ini amat menekankan pendidikan dan memperbaiki  keberkesanannya di samping memberi bantuan yang banyak ke arah tersebut. Beliau meneroka ilmu-ilmu naqli seperti tafsir, hadis, ilmu fiqh, ilmu kalam, bahasa Arab dan sastera. Di samping itu, diajarkan juga ilmu aqli seperti falsafah, mantiq, sejarah, kesihatan, perubatan dan lain-lain. Antara perubahan yang berlaku kepada institusi pengajian ini ialah pengajian yang memperdalamkan ajaran Islam tulen Ahli Sunnah wal Jama’ah sehingga ajaran Syiah yang telah diselewengkan telah pupus.


Pertama kalinya, bendera kerajaan Islam Uthmaniah berkibar di Mesir, pada Januari 1517 M setelah Sultan Salim berjaya mengalahkan kerajaan Mamalik dan bermastautin selama lapan bulan sebelum pulang ke Qastantaniah, pusat pemerintahannya bersama pakar-pakar dalam pelbagai bidang dari Mesir dan kitab-kitab yang berharga daripada maktabah al-Azhar untuk digunakan bagi memajukan kota raya yang pesat itu.  Al-Azhar menjadi tempat terpenting dalam perkembangan ilmu pengetahuian dan agama terutamanya pada zaman pemerintahan keturunan Basya, yang diutuskan dari Turki. Para ulama’ disegani dan mempunyai kedudukan yang tinggi. Di samping mempunyai ilmu yang melaut, mereka juga terkenal dengan sifat-sifat wara’. Pada zaman ini, gelaran as-Syeikh Jami’ al-Azhar yang dianugerahkan oleh khalifah semenjak abad ke-17 M dikekalkan hingga ke hari ini.


Sejarah pengajian di al-Azhar selari dengan sejarah Jami’ah tersebut telah melalui liku berkelikir dalam perjalanan yang masih jauh.  Pengajian dimulakan dengan menggunakan Kitab I’tisar yang mengajar fiqh Syi’ah sebaik sahaja ia dibina dalam tahun 365 H (975 M) setelah mendapat arahan daripada pemerintah kerajaan Fatimiyyah al-Maiz li Din Daulah, Qadil Duda’ Abu Hassan Ali bin Nukman bin al-Qaitawani.  Setelah mendapat nasihat daripada menterinya, Ya’akub bin Kals, ditetapkan pada malam Selasa dan Jumaat, penggunaan Waziriyyah sebagai perbincangan usul fiqh Syi’ah. Selepas itu, penambahan madah-madah lain dilakukan sehingga institusi tersebut menjadi institusi pertama yang membincangkan segala bidang ilmu, dengan cabang-cabang ilmu yang dipecahkan kepada Ulum Quran, Tafsir, Hadith, Tauhid, Sejarah, Riadhah, Falaq, Bahasa, Sastera, dan sebagainya lagi. Diadakan juga pembelajaran khusus untuk wanita. Semua ini dilakuakan dengan penggembelingan yang sepenuhnya di antara rakyat dan pemerintah, guru-guru, syeikh-syeikh dan murid-murid untuk menyebarkan ajaran Syi’ah di seluruh pelosok alam.  Jawatan yang paling tinggi disandang oleh Da’ie Du’at. Walaupun jawatan ini diberikan kepada khalifah tetapi ia mempunyai kreadibiliti yang tersendiri, bebas daripada khalifah. Ia boleh menjalankan kerja-kerja agama dan memberi pandangan bebas.  Di bawah kerajaan Ayubiyyah pula, Sultan Salahuddin yang telah berjaya menghapuskan pengaruh Syi’ah telah mengemaskinikan sistem pembelajaran berdasarkan mazhab Ahli Sunnah wal Jama’ah dengan membawa masuk fiqh empat mazhab. Di samping itu, baginda juga menggalakkan doktor peribadinya, Musa bin Maimun mengajar ilmu perubatan, falak dan riadhah. Ilmu kesusasteraan Arab pulka diajar oleh Abdul Latif al-Baghdadi, seorang guru daripada Baghdad yang bijak dalam bidang ilmu kalam, mantiq dan perubatan.  Pendekatan yang digunakan semasa pembelajaran berbentuk halaqoh iaitu seorang syeikh akan mengambil tempat yang agak tinggi di tepi tiang masjid dilingkungi oleh murid-murid. Pembelajaran dimulakan dengan Bismillah, doa, salam dan selawat kepada Rasulullah serta diikuti ilmu yang akan dipelajari.  Sejurus selepas itu, syeikh tersebut akan memperbetulkan kesilapan bacaan dan tulisan murid-muridnya, menggulang pelajaran yang lalu, menyambung pelajaran baru dan diakhiri dengan perbincangan dan soal jawab serta ditutup dengan surah al-Fatihah. Dengan cara ini, pelajar-pelajar tidak akan ponteng untuk mengelakkan ketinggalan. Kitab-kitab yang digunakan adalah hasil tulisan tangan perempuan dan abdi-abdi lelaki serta penulis-penulis yang diupah.  Pada zaman pemerintahan Mamalik pula, Jami’ al-Azhar telah mengekalkan kegemilangannya ketika seluruh Jawami’ dan universiti-universiti Islam di Baghdad telah hancur meninggalkan puing-puing abu runtuhan bangunan akibat serangan tentera Monggol yang dipimpin oleh Halako Khan. Air sungai Furat dan Dijlah yang berwarna biru telah bertukar menjadi hitam, kesan tindakan mereka menjadikan kitab-kitab Islam sebagai jambatan. Namun, al-Azhar masih tegak dan kukuh dengan keilmuannya.  Selama beberapa ratus tahun semenjak penubuhannya, penekanan terhadap pendidikan wanita lebih diutamakan pada zaman pemerintahan Ismail Basha apabila beberapa buah sekolah wanita telah didirikan.  Pada tahun 1882 M (1302 H), seorang perempuan dari muhafazah Manufiyyah, Fatimah Khalfawiyyah telah mengikuti saudara lelakinya, Syeikh Muhammad Khalfawi ke Ma’ahad Tanta tetapi telah gagal dalam peperiksaan yang dikendalikan oleh Syeikh Dasuki al-Arabi.  Pada tahun 1884 M (1304 H) pula terdapat beberapa orang perempuan lagi di Ma’ahad tersebut, seperti Fatimah al-Ghanamiyyah dari Tanta dan Fatimah ‘Audhiyyah dari Mansourah.  Al-Azhar memainkan peranan secara langsung dalam pembentukan muslimah selepas perubahan besar undang-undang al-Azhar pada tahun 1961. Pada tahun tersebut, berlaku beberapa perubahan besar dalam pentadbiran al-Azhar. Ma’ahad khas untuk perempuan telah dibina dan tenaga-tenaga pengajar dilantik daripada al-Azhar.


Jami’ al-Azhar pernah memperolehi beberapa nama dalam lipatan sejarah. Pada peringkat pertama, al-Azhar dikenali sebagai Jami’ Kaherah iaitu disandarkan kepada ibu kota Mesir yang terletaknya masjid tersebut. Pada masa ini, ia dianggap oleh ahli-ahli sejarah sebagai anak perempuan (puteri) ibu kota tersebut.  Menurut Ahmad Mohd ‘Auf seorang penulis al-Azhar, pada masa tersebut Jami’ ‘Amru bin al-‘As dikenali sebagai Jam’u al-Jawami’ atau Masjid al-Jami’ atau Taj al-Jawami’. Selepas itu, masjid tersebut ditukar namanya kepada Jami’ al-Azhar bersandarkan kepada nama seorang puteri Rasulullah. Kajian yang dilakukan tidak dapat memberikan jawapan yang tepat terhadap pemilihan nama yang ketiga ini kerana terdapat ikhtilaf pendapat. Pendapat pertama mengatakan lafaz al-Azhar ini dinisbahkan kepada Saidatina Fatimah binti Rasulullah saw yang dikenali sebagai Fatimah az-Zahra’. Namun, gelaran ini pulalah yang diabadikan pada Masjid az-Zahra’. Mengikut pendapat yang kedua pula, nama ini dikaitkan dengan istana az-Zahirah yang dibina sewaktu pembukaan kota Kaherah. Seterusnya, yang ketiganya pula berpendapat bahawa nama ini dicadangkan bersesuaian dengan kedudukan dan martabat al-Azhar yang tinggi sebagai tempat penyebaran ilmu Islam.  Kini, masjid yang bersejarah yang dibina oleh Jauhar Saqla tetap utuh dan kekal walaupun ia bukan lagi seratus peratus bercorakkan binaan dan kesenian asli seperti pada zaman beliau. Walau bagaimanapun, fungsinya sebagai pusat penyebaran ilmu Islam tetap gemilang sehingga sekarang.


Tidak dapat dinafikan bahawa Universiti al-Azhar as-Syarif mempunyai pelbagai keistimewaan dan keunikan, terutamanya yang berkaitan dengan pendidikan tinggi, sama ada di al-Azhar sendiri mahupun al-Buhuth.  Di samping menjaga kecemerlangan tradisi ilmu Islam, pembelajaran dan penyebarannya, al-Azhar juga menyampaikan Risalah Islamiah kepada seluruh umat manusia dan berusaha merealisasikan hakikat keilmuan dalam Islam serta manifestasinya dalam membina peradaban insaniah, lantas mampu menjamin keharmonian sejagat, sama ada di dunia mahupun akhirat.  Al-Azhar turut memainkan peranan penting dalam meniupkan api perjuangan kebangkitan tamadun Arab dari segi tradisi ilmu, pemikiran, dan spritual. Fungsinya yang agung turut melahirkan ramai ulama’ ‘amilin bagi seluruh dunia Islam yang bersatu atas paksi keimanan kepada Allah, keyakinan yang ampuh dan pendirian yang teguh, kekuatan rohani, kemantapan Aqidah dan Syariat, serta kemahiran berbahasa al-Quran (Arab).  Al-Azhar meneruskan tradisi kegemilangannya dengan menyempurnakan tuntutan fardhu kifayah dalam ilmu dan amalan. Realitinya tampak dengan kewujudan fakulti perubatan, kejuruteraan, pertanian, dan sebagainya dalam usaha memperteguhkan hubungan antara agama dengan kehidupan serta ikatan aqidah dengan cara hidup seharian. Ia juga menyediakan kader-kader ad-dien yang akan terjun ke dalam arena dakwah di jalan Allah berbekalkan uslub hikmah dan nasihat yang baik.  Akhirnya, al-Azhar yang sedemikian merupakan agen penting dalam mengutuhkan kesepaduan ilmu dan kebudayaan Islam dengan lain-lain universiti dan institusi-institusi pendidikan Islam, sama ada di sekitar dunia Arab ataupun bukan Arab, lantas melangkaui dunia yang global.


1. Majlis Tertinggi  2. Rektor  3. Timbalan-timbalan rektor  4.setiausaha-setiausaha

1. Majlis Tertinggi

Anggota-anggotanya terdiri daripada :
1. Rektor yang mempengerusikan majlis
2. Timbalan-timbalan Rektor
3. Dekan-dekan Kuliah
4. Wakil Kementerian Pendidikan Tinggi, dipilih oleh Menteri  daripada Pegawai pegawai Tertingginya.
5. orang anggota (maksimum) daripada ahli Mujamma’ Buhuth Islam
6. orang anggota (maksimum) yang mempunyai pengalaman dalam hal  ehwal pelajaran di Universiti al-Azhar.

2. Rektor Universiti
Bertanggungjawab penuh kepada Hal Ehwal Pentadbiran al-Azhar sama ada Pendidikan, Pengurusan, dan Kewangan. Turut mentadbir jabatan-jabatan serta menerima ketetapan sistem Al Azhar berdasarkan persetujuan daripada Presiden Mesir. Kriteria utamanya ialah pernah menduduki salah sebuah kerusi ‘Ustaz’ di Universiti al-Azhar ataupun mana-mana universiti di Mesir sekurang-kurangnya bagi tempoh 5 tahun. Hal yang sedemikian juga disyaratkan kepada Timbalan-timbalannya.

3.Timbalan-timbalan Rektor
Terdapat 4 orang Timbalan Rektor berdasarkan bahagian-bahagian tertentu :  i Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajaran Dan Pelajar  ii Timbalan Rektor Pendidikan Tinggi dan Buhuth  iii Timbalan Rektor Cawangan Assyut  iv Timbalan Rektor Cawangan Banat  Mereka membantu Rektor dalam urusan pentadbiran universiti dan menggantikan tempat Rektor sepanjang ketiadaan beliau.

4. Setiausaha-setiausaha
Bertanggungjawab dalam hal ehwal kewangan dan pengurusan di bawah seliaan Rektor dan Timbalan-timbalannya. Pada masa ini, terdapat 4 orang Setiausaha, iaitu :
i Setiausaha Pembantu Universiti
ii Setiausaha Pembantu
iii Setiausaha Cawangan Assyut
iv Setiausaha Cawangan Banat
Mereka dibantu oleh 11 orang Pengetua-pengetua jabatan.


Sebenarnya, pendidikan tinggi di al-Azhar berdasarkan Peraturan 103 tahun 1961M hanyalah merangkumi 3 fakulti asas iaitu : (Bahasa Arab , Syariah Wal Qanun , dan Usuluddin. )
Walau bagaimanapun, peraturan tersebut telah dipinda berdasarkan perkembangan semasa. Seterusnya, al-Azhar telah mengorak langkah dengan menambahkan fakulti-fakulti baru termasuklah perubatan, kejuruteraan, pertanian, dan perniagaan. Sesungguhnya, fakulti-fakulti baru ini dalam bentuk teori dan praktikalnya, mempunyai keistimewaan yang ketara berbanding fakulti-fakulti yang sama di lain-lain universiti kerana ia meliputi pembelajaran Islam di samping matapelajaran-matapelajaran asas.  Hal ini jelas memberikan pemahaman ilmu yang mantap kepada para pelajar dengan didasari oleh keyakinan kepada Allah dalam usaha menjadikan mereka sebagai role model yang terbaik kepada masyarakat, seterusnya mampu membangunkan masyarakat dengan jayanya. Sehingga kini, terdapat 52 buah fakulti di Universiti al-Azhar. Keterangan lanjutnya adalah seperti berikut :
1. Fakulti-fakulti Siswa  

Promosi hanya RM1 sahaja grab now !!

A: Di Kaherah
I Usuluddin
ii Syariah Wal Qanun
iii Bahasa Arab
iv Pengajian Islam dan Bahasa Arab
v Dakwah Islamiah  vi Tarbiah
vii Bahasa-bahasa dan Terjemahan  viii Sains
ix Perubatan
x Farmasi
xi Perubatan Gigi
xii Kejuruteraan
xiii Pertanian
vx Perniagaan
vxi Maahad Pengajian Komunikasi

B: Di Cawangan-cawangan
1- Kawasan Selatan
I Usuluddin dan Dakwah di Assyut
ii Syariah Wal Qanun di Assyut  iii Bahasa Arab di Assyut
iv Perubatan di Assyut
v Perubatan Gigi di Assyut  vi Farmasi di Assyut  vii Sains di Assyut
viii Pertanian di Assyut
ix Bahasa Arab di Jerja
x Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Qana
xi Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Aswan

2- Kawasan Utara
I Usuluddin dan Dakwah di Tanta
ii Syariah Wal Qanun di Tanta
iii Ulum Al Quran di Tanta
iv Usuluddin dan Dakwah di Zaqaziq
v Bahasa Arab di Zaqaziq
vi Usuluddin  dan Dakwah di Shibin Kaum
vii Bahasa Arab di Shibin Kaum
viii Syariah Wal Qanun di Damanhur
ix Bahasa Arab di Itai Barud
x Syariah Wal Qanun di Tafhana Al Asyraf – Daqhaliyyah
xi Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Dasuk
xii Usuluddin dan Dakwah di Mansoura
xiii Bahasa Arab di Mansoura
vx Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Dumyat (baru)

 

 

 

 

 

 

 

2. Fakulti-fakulti Siswi
A: Di Kaherah
I Pengajian Islam dan Bahasa Arab
ii Pengajian  Kemanusiaan
iii Perubatan
iv Sains
v Perniagaan
vi Farmasi  

B: Di cawangan-cawangan
1- Kawasan Timur
I Pengajian Islam di Assyut
ii Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Suhaj

2- Kawasan Utara
I Ekonomi Rumahtangga di Tanta
ii Perniagaan di ?Tafhana Al Asyraf
iii Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Mansoura
iv Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Iskandariah

 

 

 

 

 


Pengajian di al-Azhar sememangnya terpelihara daripada unsur percampuran antara mahasiswa dan mahasiswi. Hal ini disebabkan fakulti siswi diletakkan berasingan daripada fakulti siswa. Selain itu, kemasukan berdasarkan faktor keturunan tidak diamalkan di sini. Pengajiannya berjalan di atas sistem semester kecuali fakulti pertanian yang berdasarkan 2 penggal pengajian sahaja. Perlu disebutkan juga bahawa peperiksaan di al-Azhar dijalankan mengikut pemeringkatan yang telah ditetapkan.


1. Bagi mereka yang mengikuti pengajian di Maahad-maahad al-Azhar atau Maahad Ghizzatuddin, mereka disyaratkan memperolehi Sijil Thanawi al-Azhar untuk kelayakan memohon masuk ke mana-mana fakulti berdasarkan syarat-syarat seperti memperolehi sekurang-kurangnya markah kelayakan minimun serta memenuhi kuota pengambilan seperti yang telah ditetapkan.

2. Bagi pelajar yang memperolehi Sijil Thanawi dari Maahad Bu’uth Islami atau yang setaraf dengannya, mereka layak memohon masuk ke fakulti-fakulti tertentu berdasarkan syarat-syarat seperti memperolehi sekurang-kurangnya markah kelayakan minimun serta memenuhi kuota pengambilan seperti yang telah ditetapkan.  

3. Bagi pelajar yang memperolehi Sijil Thanawi Am atau yang setaraf dengannya dan juga calon yang mendapat biaya pengajian daripada Kerajaan Mesir, mereka layak memohon masuk dengan mengambil kira keadaan berikut :       3.1 Bagi pelajar bukan dari negara-negara Arab yang berminat memohon masuk ke Fakulti-fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab layak memohon berdasarkan syarat-syarat seperti memperolehi sekurang-kurangnya markah kelayakan minimun serta memenuhi kuota pengambilan seperti yang telah ditetapkan. Hal yang sama turut disyaratkan kepada pelajar-pelajar dari Selatan Sudan.

4. Bagi pelajar yang memperolehi Sijil Pengiktirafan (Mu’adalah) bagi tahun-tahun tertentu layak memohon berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh Lujnah Pengiktirafan Universiti al-Azhar.
Perhatian :
Kesemua calon di atas perlu mengemukakan borang permohonan mereka kepada Urusetia Bu’uth Islam al-Azhar melalui Pejabat Pendaftaran Kemasukan Pelajar Universiti al-Azhar berdasarkan syarat-syarat berikut:
a. Disyaratkan kepada lepasan Maahad Thanawi al-Azhar dan Al Bu’uth serta pengkhususanQiraat untuk memohon kemasukan ke universiti bagi tempoh tidak melebihi 2 tahun daripada tahun penerimaan sijil. Bagi calon yang bukan dari negara Arab yang berminat memasuki fakulti keagamaan, mereka disyaratkan memohon dalam masa tidak melebihi 3 tahun dari tarikh penerimaan sijil.
b. Calon-calon wajib memperolehi Sijil Mu’adalah dengan pangkat lulus sama ada Mumtaz (90%), Jayyid Jiddan (80%), Jayyid (65%), atau Maqbul (50%). Bagi yang lulus tanpa pangkat juga layak dengan syarat memperolehi markah kelayakan minimun untuk masuk.
c. Kemasukan calon luar Mesir ke fakulti-fakulti bukan keagamaan dihadkan dengan tidak melebihi 10% daripada bilangan calon Mesir manakala keutamaan bagi kelayakan masuk adalah seperti berikut :
(I) Calon-calon luar yang mendapat tajaan pengajian dari Kerajaan  Mesir.
(ii)Calon-calon yang memperolehi Sijil Thanawi al-Azhar atau Maahad Bu’uth Islami di Mesir.
(iii)Calon-calon yang memperolehi Sijil Mu’adalah yang setaraf  dengan Sijil Thanawi AlAzhar atau Maahad Bu’uth Islami dan  Kemasukan pelajar ke fakulti-fakulti seperti Perubatan,Perubatan  Pergigian, Farmasi, dan Kejuruteraan tidak dibuka kepada semua  warganegara asing melainkan mendapat kebenaran khas daripada         Rektor Universiti.
e.Calon-calon yang layak daripada sijil Thanawi Am atau yang setaraf dengannya akan menyusuli calon-calon tajaan Kerajaan Mesir pada peringkat pra Universiti. Segala peraturan pengajian dan peperiksaan yang berkenaan turut melibatkan mereka.
f. Semua calon tidak akan mendapat pengesahan kemasukan ke universiti sama ada di peringkat pra mahupun ijazah sehingga selesai membayar segala yuran dan bayaran jaminan serta urusan-urusan pengajian yang lain berdasarkan Peraturan Pelaksanaan bagi Undang-undang Bernombor 103 Tahun 1961M yang dikeluarkan dengan persetujuan Presiden Mesir bernombor 250 Tahun 1975 dan disemak oleh Majlis Tertinggi al-Azhar pada 31 Mac 1985.

 

 

 

 

 

 

 


1.Ijazah Pertama  Ijazah ini juga dikenali sebagai Bachelor of Art (B.A) dan mengambil masa antara 3 – 5 tahun mengikut fakulti. Walau bagaimanapun , pihak universiti turut mengeluarkan pengiktirafan yang lebih tinggi daripada itu dalam semua bidang pengkhususan ilmu di semua fakulti. Keterangan lanjut adalah seperti di bawah.

2.Diploma Pendidikan Tinggi  Terbuka kepada semua lepasan yang telah menghabiskan peringkat ijazah pertama (B.A) tanpa mengira pangkat yang diperolehi. Biasanya, kebanyakan fakulti mensyaratkan calon-calon yang memohon mestilah telah berpengalaman dalam bidang yang berkenaan selama 2 tahun sejak keluar  daripada pengajian ijazah pertama.Pengajian pada peringkat ini merupakan pengajian peringkat tinggi yang merangkumi akademik dan praktikal. Biasanya, peringkat ini mengambil masa selama 2 tahun pengajian atau 4 semester.  Di samping itu, al-Azhar juga menerima kemasukan lepasan B.A daripada mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf sama ada di Mesir atau di luar Mesir untuk mengikuti pengajian peringkat diploma di sini. Calon bukan lepasan al-Azhar juga disyaratkan mengambil beberapa peperiksaan berdasarkan kurikulum Islam. Ia perlu dipelajari dalam tempoh pengajian dan perlu lulus sebagai prasyarat pengesahan kemasukannya ke peringkat diploma ini.

3.Peringkat Pengkhususan (Master)  Calon-calon yang memperolehi sekurang-kurangnya pangkat Jayyid pada peringkat B.A di Universiti al-Azhar layak memohon untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Master (M.A). Sesetengah fakulti mensyaratkan calon yang memohon perlu menghabiskan setahun (atau 2 tahun) selepas B.A.  sebagai syarat kelayakan masuk.  Ada juga yang mensyaratkan calon perlu sekurang-kurangnya memperolehi pangkat Jayyid Jiddan dalam mata pelajaran yang ingin diambil sebagai syarat pengesahan kemasukan ke peringkat ini.  Syarat yang sedemikian juga dikenakan kepada pemohon yang memperolehi ijazah pertama daripada mana-mana universiti di Mesir atau yang setaraf dengannya daripada lain-lain institusi pengajian yang diiktiraf oleh pihak universiti. Mereka juga disyaratkan mengambil beberapa peperiksaan berdasarkan kurikulum tertentu. Ia perlu dipelajari dalam tempoh pengajian dan perlu lulus sebagai prasyarat pengesahan kemasukannya ke peringkat Master ini. Sesetengah fakulti juga menerima kemasukan lepasan Diploma Pendidikan Tinggi dengan sekurang-kurangnya pangkat Jayyid Jiddan. Tempoh minimun bagi menghabiskan pengajian ini ialah selama 2 tahun bagi fakulti amali dan ditambah kepada 3 tahun bagi kebanyakan fakulti teori termasuklah semua fakulti keagamaan (Islam).

4.Peringkat Doktor Falsafah (PhD)  Calon yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat ini disyaratkan memperolehi ijazah M.A. dalam bidang-bidang pengkhususan tertentu sama ada daripada Universiti al-Azhar , lain-lain universiti di Mesir, atau peringkat yang setaraf dengannya di mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh pihak universiti. Bagi calon bukan lepasan M.A al-Azhar, mereka perlu menghabiskan beberapa pengajian daripada kurikulum tertentu dalam tempoh pengajian universiti dan perlu lulus sebagai prasyarat pengesahan kemasukannya ke peringkat Doktor.  Sesetengah fakulti mensyaratkan sekurang-kurangnya pangkat Jayyid atau Jayyid Jiddan bagi calon yang berminat menyambung pelajaran mereka ke peringkat ini. Calon juga diwajibkan menyediakan thesis (kajian ilmiah) asli yang belum dikeluarkan oleh mana-mana pihak sebelum ini untuk mencapai peringkat Doktor Falsafah.Tempoh minimum untuk mencapai peringkat ini ialah 2 tahun dan ia boleh meningkat kepada 4 atau 6 tahun berdasarkan fakulti-fakulti dan situasi-situasi tertentu.

1 comment… add one

Leave a Comment