PERBEZAAN MANUSIA DENGAN MAKHLUK LAIN
Firman Allah Ta’ala Surah Al-Tin ayat 4-6…….
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (Neraka), kecuali orang-orang yang berIman dan mengerjakan amal soleh; maka mereka pahala tidak putus-putus.”
DEMIKIAN firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Tin ayat 4-6. Dengan terang Allah Ta’ala menegaskan bahawa manusia adalah makhlukNya yang paling baik (mulia). Makhluk paling agung. Tidak ada makhluk lain yang setanding dengan manusia. Namun begitu kebaikan dan kemuliaan itu ada syarat-syaratnya. Ia tidak diperolehi secara automatik oleh manusia.
Sekiranya manusia memenuhi syarat-syarat itu baru ia dikatakan baik.
Syaratnya ialah sekiranya manusia itu berIman dan beramal soleh. Yang kenal diri dan juga Tuhannya. Sebaliknya jika mereka tidak berIman dan berpegang dengan kepada apa yang Allah perintahkan, maka ia akan diletak di tempat serendah-rendahnya iaitu ke dalam Neraka. Mereka tidak berhak untuk menerima “gelaran” kemuliaan itu. Malahan hidup mereka sama sahaja dengan haiwan dan makhluk-makhluk lain.
Apapun dalam firman Allah tadi membuktikan kepada kita bahawa manusia itu sebaik-baik kejadian dan telah dijanjikan akan menduduki martabat kemuliaan jika ia berIman kepada Allah. Adapun keadaan dan deklarasi seumpama ini Allah tidak berikan kepada kejadian-kejadianNya (makhluk) yang lain.
Menyebut kejadian terbaik dan mengakui kejadian terbaik, siapa pun mahu.
Kerana itu adalah satu keistimewaan yang Allah berikan kepada manusia. Tidak ada manusia yang mahu digolongkan dalam golongan hina dina. Tetapi untuk mencari hujah dan bukti-bukti kenapa manusia itu menjadi makhluk terbaik adalah sesuatu yang payah.
Jawaban dan cara untuk mewujudkan manusia menjadi baik telah kita ketahui iaitu dengan berIman dan beramal soleh. Mana-mana manusia yang berIman dan beramal soleh dengan kebenaran, ikhlas dan kena caranya maka tidak ragu lagi dia manjadi makhluk yang baik.
Firman Allah Ta’ala Surah Al-Baqarah ayat 277…….
“Sesungguhnya orang-orang yang mengerjakan amal soleh, mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di didi Tuhan, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka, dan mereka tidak (pula) bersedih hati.”
Tetapi persoalan kita kini untuk mengetahui kenapakah Allah telah mengakui bahawa manusia itu adalah makhlukNya yang paling baik.
Apakah asas-asas sehinggakan Allah berkata demikian? Atau dalam bahasa paling mudah di manakah terletaknya kebaikan manusia itu?
Iya, kenapakah manusia dikatakan makhluk terbaik? Apakah perbezaannya? Apakah yang menyebabkan Allah hanya menyebut (an-nas) manusia sebagai kejadian yang terbaik? Kenapa tidak ada makhluk lain lagi selepas itu? Kenapa tidak Malaikat ataupun iblis? Atau ke atas semua makhluk di dunia ini. Bukankah semua kejadian di atas muka bumi ini dijadikan olehNya? Apakah Allah mempunyai motif tertentu mengangkat manusia ke taraf sebaik itu?
Kalau mengikut logik sepatutnya semua makhluk itu mulia dan semuanya harus dipandang sama. Semua makhluk hendaklah diberi hak yang sama rata.
Tidak dikelasifikasikan ada yang duduk nombor satu, ada duduk nombor dua dan ada yang duduk nombor tiga. Sebab semuanya dijadikan oleh Allah? Jadi kenapa manusia sahaja yang dikatakan sebaik-baik kejadian?
Apakah kebaikan itu disebabkan fizikal manusia itu begitu, punya kepala di atas dan kaki di bawah. Punya dua mata di muka, satu hidung dan satu mulut. Rasanya kalau setakat perbezaan itu ternyata manusia tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Manusia sama sahaja dengan makhluk lain seperti lembu, kerbau, ayam, itik, kera dan monyet.
Manusia tidak boleh pandai-pandai hendak mengakui dirinya mulia dan terbaik kalau setakat bergantung kepada kedudukan jasad sahaja.
Kerana makhluk lain juga mengakui yang kewujudan dan kejadian (rupa bentuk) mereka juga menarik. Malahan sesetengah daripada makhluk lain seperti haiwan mempunyai sisik bersinar, berkilau, mempunyai sayap dan kepak yang boleh terbang bebas di atas angin seperti burung. Ada pula yang mempunyai insang yang boleh bernafas dalam air seperti ikan. Tetapi keistimewaan itu tidak ada kepada manusia.
Kalau hendak dikira apa yang ada kepada burung dan ikan itu cukup istimewa berbanding dengan manusia. Burung boleh terbang bebas di angkasa raya dengan menggunakan sayapnya. Ke mana meraka hendak pergi, kibas sahaja kepak, mereka akan melayang. Pun begitu juga dengan ikan, mereka boleh duduk dalam air selama-lamanya.
Tetapi tidak dengan manusia. Manusia kalau hendak melayang terpaksa menggunakan kenderaan khas, kapal terbang misalnya. Itupun bagi orang yang kaya, yang tidak kaya hanya melopong dibawah sahaja. Begitu juga kalau hendak duduk dalam air sampai lima hingga sepuluh minit sudah kena pakai oksigen. Kalau tak pakai oksigen ibarat kata yang timbul nanti ialah perut buncit yakni mati lemas.
Maka ternyata perbezaan saiz dan segala macam keistimewaan lahiran (rupa bentuk) itu bukan menjadi ukuran mutlak untuk kita melihat apakah perbezaan tadi sehinggakan Tuhan memperakui manusia itu sebagai KhaliqNya yang terbaik. Keistimewaan tubuh badan atau jasad bukan menjadi ukuran untuk menilai perbezaan untuk meletakkan manusia sebagai makhluk yang paling mulia.
Sabda Rasulullah S.A.W……..
“Sesungguhnya Allah tidak memandang jasad/rupa tetapi Dia memandang hati kamu.”
– Termizi & Muslim –
Apakah perbezaan paling ketara dan diakui oleh Tuhan? Perbezaan itu ialah tidak lain dan tidak bukan terletak kepada akal (Nur Muhammad).
Kerana manusia mempunyai akal itulah menyebabkan manusia itu lebih mulia daripada makhluk lain. Makhluk lain tidak mempunyai akal untuk mereka berfikir dan mereka sesuatu. Mereka tidak mempunyai akal maka mereka tidak ada undang-undang khas untuk diri mereka. Mereka juga tidak mempunyai syariat untuk berhubung dengan PenciptaNya seperti mana manusia lakukan.
Sabda Rasulullah S.A.W……..
“Yang membezakan manusia dengan makhluk lain ialah akal.”
Tidak dinafikan kegunaan akal kepada manusia begitu besar sekali. Ia amat penting. Dengan akallah manusia dapat hidup bermasyarakat dengan rukun damai. Dapat membangun dunia untuk kepentingannya. Dengan akal juga manusia dapat mengalahkan makhluk lain, menguasai duni ini. Dengan adanya akallah manusia boleh muncul sebagai ketua atau pemimpin, membimbing yang lemah dan mengajar yang jahil. Kalau tidak ada akal manusia tidak mampu untuk berbuat demikian. Mungkin kehidupan manusia sama sahaja dengan haiwan dan makhluk-makhluk lainnya.
Cuba manusia tidak ada akal? Bagaimana jadinya? Sudah tentu manusia akan mengalami sosial hidup seperti haiwan. Pergaulan sex akan bebas sebebasnya. Bapak akan merogol anak, anak akan merogol ibu dan sebagainya. Sudah tentu manusia akan makan makanan seperti mana yang yang dimakan haiwan, tanpa dibersih dan dimasak. Sudah tentu manusia tidak melindung auratnya dan membiarkan auratnya terbuka seperti mana berlaku pada haiwan. Bayangkan betapa gawat dan buruknya dunia kalau keadaan itu berlaku.
Tetapi kerana adanya akal manusia itu pandai mereka berfikir bagaimana hendak menyalakan api dan memasak makanannya. Manusia pandai berfikir menenun benang untuk dibuat kain dan melindungi auratnya.
Dan apa yang lebih bermakna lagi dengan akal jugalah manusia dapat menerima perintah Allah dan melaksanakan dalam kehidupannya. Manusia boleh menyusun peraturan hidupnya, membuat batas-batas tertentu dan sama-sama akur kepadanya. Berkat segala itulah hidup manusia lebih tersusun, harmoni dan menjadi lebih bermakna berbanding kehidupan makhluk lain.
Dengan akal jugalah menyebabkan manusia pandai mengenang budi dan jasa Allah ke atasnya. Manusia mengingat dan bersyukur kepada Allah. manusia berbeza dengan makhluk lain yang hanya tahu menerima tetapi tidak tahu untuk membalas jasa dan bakti Allah kepadanya.
Namun begitu bukan semua manusia itu mulia. Bukan bermakna bila disebut manusia, dia secara automatik berbeza dengan makhluk lain.
Tidak semestinya begitu. Kalau diukur pada fizikal, memang ia. Sebab manusia mempunyai dua kaki, kepala tegak ke atas, berlainan dengan lembu dan kerbau yang mempunyai empat kaki dan kepala sama tinggi dengan badan. Tetapi kerana perbezaan fizikal itu bukan ukuran mutlak tentang kemuliaan maka ia tidak dikira.
Manusia yang mulia ialah yang tahu akan kemuliaan itu. Mereka tahu kenapa mereka dikatakan mulia dan bagaimana kemuliaan itu muncul pada dirinya. Kalau mereka tidak tahu hal itu, mereka tidak boleh mengaku diri mereka mulia.
Kemuliaan manusia itu ialah terletak kepada akal. Sejauh mana mereka dapat menggunakan akal dan memanfaatkannya. Penggunaan akal ini juga ada cara dan batas-batasnya. Jika ia digunakan ke jalan yang tidak diredhai Allah, maka ia tidak dianggap sebagai mulia. Manusia begitu tetap sama juga (tidak berbeza) dengan makhluk lain, mereka sama sahaja dengan haiwan-haiwan seperti lembu, kerbau, harimau, kera dan monyet.
Misalnya dia menggunakan akal untuk merogol anak dara orang, mencuri harta benda orang, mengkhianati orang, memfitnah orang – semua kerja- kerjanya dilarang oleh syariat Islam, maka ia bukan seorang manusia yang mulia. Kerja dan perbuatan yng dilakukan itu sama sahaja yang diperbuatkan oleh haiwan dan makhluk lain. Jadi tidak layak untuknya mendapat gelaran sebagai “Al-Insanul Kamil”.
Apa lagi dengan manusia yang ada akal, tetapi tidak menggunakan akalnya. Ia sama juga tidak dapat digelar sebagai manusia yang mulia.
Orang begitu juga tidak mempunyai kemuliaan kerana ia tidak menggunakan akalnya. Bila seseorang itu tidak menggunakan akalnya, maka ia sering kali terdorong untuk melakukan kerja-kerja yang jahat.
Orang yang tidak menggunakan akal, kedudukannya sama dengan orang yang tidak berakal. Dan orang yang tidak berakal sama kedudukannya dengan haiwan. Di mana mereka digolongkan dalam kumpulan yang sama.
Manusia jenis ini tidak boleh mengakui yang dia sebagai makhluk mulia seperti mana yang diperakui Allah, kerana meraka seumpama itu termasuk dalam golongan yang tidak berIman dan beramal soleh.
Sabda Rasulullah S.A.W…….
“Sehina-hina manusia ialah mereka yang tidak menggunakan akal.”
Justeru itulah kita sebagai manusia perlu menggunakan akal dengan bijaksana. Menggunakan akal mengikut syariat Allah. Apabila kita menggunakan akal mengikut syariat Allah baharulah kita dapat mengakui bahawa kita manusia/makhluk yang mulia.
Demikian perbezaan manusia dengan makhluk lain. Perbezaan itu nyata bukan terletak kepada fizikal, tetapi kepada akal. Perbezaan itu bukan sahaja terletak kepada kepandaian manusia menggunakan akalnya, tetapi juga ke arah mana kepandaian itu dibawa dan digunakan! Kalau kepandaian itu ke arah memusnahkan aqidah manusia dan struktur syariatnya, maka kepandaian itu bukan dari akal yang dikehendaki Allah. Sejuata kali dia menggunakan akal kepada pembangunan duniawi, ia tetap juga bukan manusia yang bijaksana, pintar dan mulia kerana ia berlawan dengan syariat Allah.
Manusia yang mulia, yang menuruti, mentaati dan bertanggungjawab kepada amanah Allah, sesuai dengan pengakuan manusia itu sendiri menjadi rahsia Allah dan menerima amanah Allah semasa di Alam Roh dahulu.
Firman Allah Ta’ala Surah Al-Ahzab ayat 72…….
“Sesungguhnya Kami kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikulnya dan khuatir akan mengkhianatinya dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya.”
Hanya manusia yang mulia sahaja yang dapat menjaga amanah yang dianugerahkan Allah. Manusia yang tidak mulia akan mengkhianati segala rahsia itu. Sebab itu hari ini kita temui ramai manusia yang ingkar kepada Allah, yang derhaka kepada Allah dengan tidak menjaga segala amanah (rahsia) yang Allah berikan kepadanya itu.
Wallahu ta’ala a’lam…….