≡ Menu

Cemerlang Dengan Sabar Dan Positif

Antara barang yang cepat Sold Out dan berebut rakyat marhaen beli Lihat Sini

CEMERLANG DENGAN SIFAT SABAR & POSITIF

“Apabila kita melihat masalah sebagai kesempatan membangunkan diri, kita berfikiran positif.”  

AKHLAK YANG MULIA melahirkan sikap positif. Antara sikap yang perlu kita miliki dalam kehidupan hari ini adalah sabar dan cekal. Kesabaran dalam Islam mempunyai hubung kait dengan Tuhan. Umat Islam dididik untuk memahami kesabaran adalah sebahagian daripada iman. Justeru, kesabaran mempunyai keuntungan dan kebaikannya di sisi Tuhan. Apabila umat Islam bersabar semasa menerima musibah, mereka menyedari bahawa kesabaran itu adalah jambatan bagi mendapat pertolongan Ilahi. Di samping itu, ganjaran yang besar sedang menanti mereka.

Dalam surah al-Baqarah ayat 155, Tuhan menjanjikan, “Berikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar.” Ini bermaksud kesabaran ada khabar gembira dan ada keuntungannya. Jaminan seperti ini sudah pasti melahirkan optimisme di hati orang yang diuji. Optimisme ini melahirkan usaha dan amal. Semua ini dilakukan dengan ketabahan dan kecekalan. Justeru, dalam Islam kesabaran tidak dapat dipisahkan daripada optimisme dan sikap positif. Semua ini lahir kerana keimanan dan keyakinan kepada Tuhan.

Tiga Bahagian Sabar
Sabar bukan bermaksud menerima sahaja keadaan serta menanti perubahan tanpa usaha. Sebaliknya, umat Islam disuruh bersabar dan serentak dengan itu melakukan amal serta usaha. Justeru, Tuhan menyuruh umat Islam men-contohi kesabaran rasul-rasul ulul azmi.

Tuhan menyatakan dalam surah al-Ahqaf ayat 35 yang bermaksud, “Bersabarlah sebagaimana bersabarnya rasul-rasul ‘Ulul ‘Azmi.” Rasul-rasul yang dimuliakan Tuhan ini adalah Nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad. Mereka beramal serta berusaha dengan bersungguh-sungguh di samping bersabar. Sebagai contoh, Nabi Nuh membina bahtera, Nabi Ibrahim memecahkan berhala dan berdakwah kepada Namrud, Nabi Musa berdakwah kepada Firaun dan membawa Bani Israel keluar dari Mesir. Demikian juga dengan Nabi Isa dan Muhammad.

Di dalam al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa disebutkan, sabar mempunyai tiga bahagian. Pertama, sabar dalam meninggalkan maksiat. Kedua, sabar dalam melakukan ibadah. Ketiga, sabar apabila ditimpa ujian dan musibah.

Quran menceritakan berkenaan Nabi Yusuf yang sabar semasa diuji untuk melakukan maksiat. Pada suatu masa, Zulaikha menggoda beliau. Tetapi Nabi Yusuf berjaya melarikan diri daripadanya. Walau bagaimanapun, Zulaikha mengejar beliau dan menarik bajunya sehingga koyak. Akhirnya, mereka terserempak dengan suami Zulaikha. Pada masa itulah Nabi Yusuf difitnah dan kemudiannya dipenjarakan walaupun beliau sebenarnya tidak bersalah.

Tuhan menceritakan dalam surah Yusuf ayat 26 hingga 28 yang bermaksud, “Yusuf berkata (kepada suami Zulaikha), ‘Dia menggodaku untuk dirinya’, dan seorang saksi dari keluarga wanita itu telah memberikan penyaksiannya, ‘Jika bajunya koyak dari hadapan maka wanita itu benar dan Yusuf adalah pendusta. Dan jika baju itu koyak dari belakang maka wanita itulah yang dusta dan Yusuf adalah seorang yang benar’. Maka tatkala suami wanita itu melihat baju Yusuf terkoyak dari belakang berkatalah ia (kepada isterinya), ‘Sesungguhnya ini adalah antara tipu dayamu, sesungguhnya tipu dayamu adalah besar’.” Nabi Yusuf mampu menolak godaan Zulaikha kerana iman yang bersinar di hati.

Dalam konteks ibadah, sahabat-sahabat nabi adalah golongan yang amat tinggi kesabarannya demi melakukan ibadah. Selepas hijrah, umat Islam diwajibkan berperang demi menegakkan kebenaran. Semasa sedang berperang, mereka tetap disuruh menegakkan sembahyang fardu tanpa pengecualian. Walaupun Tuhan memberikan beberapa kelonggaran kepada mereka berkenaan cara sembahyang pada masa itu, namun pelaksanaan sembahyang tetap diwajibkan.

Tuhan menyatakan dalam surah an-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud, “Dan apabila kamu berpergian di muka bumi maka tidaklah mengapa jika kamu qasarkan (iaitu memendekkan) sembahyang itu, jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.” Sikap sabar seumpama ini tidak mung-kin wujud tanpa iman yang mendalam.
Musibah dan Sikap yang Betul
Umat Islam menyedari sejak awal lagi, dunia adalah tempat ujian dan tribulasi. Syurga adalah tempat kesenangan yang abadi. Justeru, umat Islam bersedia untuk bersabar dengan segala ujian di dunia. Pada masa yang sama, mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai matlamat. Tuhan memberitahu dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud :

 

“Sesungguhnya Kami pasti mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada mereka yang sabar.”

Walau bagaimanapun, ujian yang menimpa ini tidak berterusan selama-lamanya. Ia hanyalah satu proses pendidikan dan pembangunan diri yang diperlukan sebelum kejayaan dan kemenangan dicapai. Inilah yang dijanjikan Tuhan dalam surah as-Syarh ayat 5 hingga 6 yang bermaksud, “Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan.” Hal ini diperkukuhkan lagi melalui kata-kata nabi yang dilaporkan oleh Imam Tirmizi yang bermaksud, “Sesungguhnya kejayaan bersama-sama dengan kesabaran, kelapangan bersama-sama dengan kesusahan dan sesungguhnya berserta dengan kepayahan adalah kesenangan.”

Selain itu, ujian menggugurkan dosa. Dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim, nabi berkata, “Tidak ada satu pun musibah yang menimpa ke atas Muslim, sama ada kepenatan, sakit yang kronik, kerisauan, kesedihan, sebarang kesakitan dan kemurungan, sehingga duri yang terkena di badannya, melainkan ia akan menjadi kifarat baginya dari dosa-dosa.”

Oleh sebab itu, bukanlah perkara pelik apabila umat Islam berterima kasih serta bersyukur kepada Tuhan apabila ujian menimpa mereka. Berhubung dengan ini, Omar bin Khattab pernah berkata, “Apabila aku mendapat ujian duniawi, aku bersyukur kerana terdapat padanya empat nikmat. Pertama, ujian itu tidak berkaitan dengan agama. Kedua, ia tidak begitu besar berbanding ujian agama. Ketiga, aku akan mendapat keredhaannya dengan ujian itu dan keempat aku mengharapkan pahala daripadanya.” Inilah fikiran positif yang sepatutnya dicontohi.

Golongan yang Menakjubkan
Golongan yang menakjubkan ini adalah orang yang beriman. Nabi menggelar mereka sebagai golongan yang menakjubkan kerana sikap mereka yang positif dalam semua keadaan. Dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Imam Muslim, nabi berkata, “Keadaan orang mukmin amat menakjubkan kerana segala keadaan yang dihadapinya menjadi baik baginya. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur dan itu adalah baik baginya. Sebaliknya, jika dia menghadapi kesusahan dia bersabar dan itu adalah baik baginya.”

Contoh terbaik adalah nabi dan para sahabat semasa mereka berjuang menyebarkan dakwah di Mekah. Antara mereka yang paling awal memeluk Islam adalah Siti Khadijah, Ali bin Abi Talib, Zaid bin Harithah, Abu Bakar bin Quhafah, Uthman bin Affan, Zubair bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf dan Saad bin Abi Waqqas. Semasa jumlah umat Islam mencecah tiga puluh orang, nabi menjadikan rumah sahabat Arqam bin Abi Arqam sebagai markas bagi memudahkan beliau menyampaikan nasihat dan pengajaran kepada para sahabat.

Di Mekah, nabi dan sahabat-sahabat Muhajirin ditindas dan diseksa selama 13 tahun. Pada masa itu, mereka di hadapkan dengan pelbagai ujian dan cabaran. Nabi pernah dicekik oleh Aqabah bin Abi Muit semasa beliau sedang bersembahyang di hadapan Kaabah, sebelum Abu Bakar datang menyelamatkan beliau. Pada waktu yang lain, Aqabah bin Abi Muit membawa najis-najis daripada bi-natang sembelihan dan dilemparkan najis-najis itu di belakang nabi semasa beliau sedang sujud. Tambahan daripada itu, ke mana sahaja beliau pergi beliau dilontarkan dengan maki hamun serta caci nista oleh kafir Quraisy.

Sahabat-sahabat nabi juga terpaksa berdepan dengan ujian yang sama. Contohnya, Bilal diseksa oleh tuannya yang bernama Umayyah bin Khalaf, dengan meletakkan batu besar di atas dada dan membiarkan Bilal berbaring di tengah panas terik. Bani Mahzum pula menyeksa keluarga Yasir sehingga akhirnya Yasir dan isterinya, Sumayyah, meninggal dunia. Uthman bin Affan pula pernah diikat oleh bapa saudara beliau yang bernama Hakam bin Abil As bin Umayyah selama beberapa hari selepas beliau memeluk Islam.

Promosi hanya RM1 sahaja grab now !!

Lebih daripada itu, bermula dari bulan Muharam tahun ke-7 hingga tahun ke-10 selepas kebangkitan nabi, golongan kafir Quraisy memulau ekonomi ke atas umat Islam dan Bani Hasyim. Pada masa itu, mereka tidak boleh berjual beli dengan orang lain. Justeru, makanan asasi mereka pada masa itu adalah daun-daun kayu yang terdapat di sekeliling mereka. Kisah-kisah ini dilaporkan di dalam Sirah Ibn Hisyam.

Berdepan dengan pelbagai rintangan ini, umat Islam terus bersabar dan beramal dengan keyakinan bahawa Tuhan akan memberikan pertolongan kepada mereka. Pertolongan ini akhirnya datang dalam bentuk hijrah dari Mekah ke Madinah. Kesan daripada hijrah ini, tertegaklah sebuah negara Islam yang dipimpin oleh nabi. Negara ini kemudiannya berjaya menguasai Mekah dan meruntuhkan empayar Rom dan Parsi. Di atas keruntuhan itu, lahirlah empayar Islam yang dikagumi hingga ke hari ini. Pada saat kemenangan dan kejayaan, umat Islam tidak pernah melupakan Tuhan. Mereka sentiasa bersyukur kepadanya. Mereka berjaya mengukir sejarah yang gilang-gemilang ini kerana iman dan sikap yang betul dalam semua keadaan.

Fikiran Positif dari Penjuru Taif
Semasa Islam ditentang dengan kerasnya di Mekah, pada akhir bulan Syawal tahun ke-10 selepas kebangkitan nabi (mengikut Abu Zahrah di dalam Khatimun Nabiyyin), nabi bertolak menuju ke Taif bertujuan menyebarkan Islam di sana. Beliau ditemani oleh sahabat Zaid bin Harithah.

Setibanya beliau di Taif, beliau menemui pemuka-pemuka Taif terlebih dahulu dan mengajak mereka kepada Islam. Sambutan masyarakat Taif terhadap seruan nabi amat dingin. Hamba-hamba sahaya serta kanak-kanak dari kalangan Bani Thaqif melempari beliau dengan batu sehingga berdarah kepala serta kedua belah kakinya. Nabi pun mengundurkan diri dan berehat di bawah sebuah pohon yang rendang dan terus bermunajat kepada Tuhan. Antara isi munajat beliau adalah, “Jika Engkau tidak murka ke atasku aku tidak mempedulikan apa yang telah berlaku.”

Imam Muslim, pada masa itu datanglah malaikat penjaga gunung meminta izin kepada beliau untuk menimpakan gunung Taif ke atas mereka. Hasrat malaikat gunung ini dilarang oleh nabi. Sebaliknya beliau berkata, “Aku mengharapkan Allah akan membangkitkan dari kalangan mereka satu generasi yang akan menyembah Allah dan tidak menyekutukan apa-apa pun dengannya.”

Inilah kesabaran dan fikiran positif yang tidak ada tolok bandingannya. Beliau mendapat kesempatan membalas dendam ke atas Bani Thaqif, namun beliau bersabar dan tidak berputus asa. Lebih daripada itu, beliau yakin bahawa masa depan mereka masih cerah. Tidak mustahil pada suatu hari nanti generasi muda dari kalangan mereka akan memeluk agama Islam.

Tidak Mengenal Putus Asa

Suatu ketika dahulu, oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, beliau dan anaknya Ismail ditinggalkan di sebuah kawasan kering kontang tanpa manusia. Tempat itu adalah Mekah. Siti Hajar tidak mengeluh dan menyalahkan takdir. Sebaliknya, beliau bangun dan berlari-lari antara Safa dan Marwah bagi mendapatkan makanan dan pertolongan. Namun usaha itu tidak mendatangkan sebarang hasil. Akhirnya, datanglah pertolongan daripada Tuhan.

Dari celah bumi yang kering kontang itu, terbitlah air yang mengalir hingga hari ini. Air itu adalah air zamzam. Ia mengalir dengan penuh keberkatan sehingga kawasan yang tandus tanpa penghuni itu bertukar menjadi kawasan yang subur yang menjadi tumpuan manusia. Semua ini terhasil berkat kesabaran dan kecekalan Siti Hajar yang tidak mengenal putus asa. Beliau berusaha dan terus berusaha tanpa jemu dan bosan sehingga dikurniakan kejayaan.

Pada hari ini, apabila umat Islam melakukan sai dari Safa ke Marwah pada musim haji, mereka sebenarnya sedang diingatkan berkenaan dengan kecekalan Siti Hajar. Dalam kamus kehidupan beliau tidak terdapat kalimat putus asa. Tuhan menyatakan dalam surah al-Hijr ayat 56 yang bermaksud, “Ibrahim berkata, ‘Tidaklah berputus asa dari-pada rahmat Allah melainkan golongan yang sesat sahaja’.”

Fisiologi Sabar dan Fikiran Positif

Kajian yang dilakukan di Harvard School of Public Health and the Department of Veterans Affairs menunjukkan, golongan tua yang optimis mempunyai risiko yang rendah menghidap sakit jantung koronari. Penemuan ini dimuatkan di dalam majalah Psychosomatic Medicine bagi edisi November / Disember, 2001.

Satu kajian yang dilakukan oleh Brigham and Women’s Hospital dan Harvard Medical School mendapati, mereka yang optimis mempunyai kehidupan yang lebih sihat lagi ceria. Para saintis merumuskan, hal ini mungkin disebabkan oleh sistem pertahanan badan yang menjadi semakin baik yang dirangsang oleh fikiran positif. Penemuan ini diterbitkan oleh majalah American Psychological Association’s Journal of Personality and Social Psychology pada tahun 2002.

Fikiran negatif memberi impak negatif dalam kehidupan. Mengikut satu kajian, pelajar-pelajar dari Harvard yang bersikap pesimistik semasa diwawancara pada tahun 1946 didapati menghadapi pelbagai masalah kesihatan semasa mereka diwawancara semula pada tahun 1980. Kajian juga menunjukkan pelajar-pelajar dari Virginia Tech yang bersikap pesimistik sering kali menghidap penyakit selesema, sakit kerongkong dan demam influenza. Hal ini disebutkan di dalam Psychology Today (Online) pada bulan Julai, 1992.

Mereka yang berfikiran negatif sering dihinggapi tekanan atau stres. Dr. Catherine Stoney dari Universiti Ohio melaporkan, tekanan jangka panjang menyebabkan paras lemak meningkat dalam darah. Lebihan lemak ini menyempitkan pembuluh darah. Apabila ini berlaku dalam pembuluh darah koronari, serangan jantung akan berlaku.

Pengeluaran hormon kortisol meningkat pada waktu stres. Hormon ini menyebabkan tekanan darah meningkat. Apabila keadaan ini berterusan, individu itu boleh menghidap penyakit darah tinggi. Tekanan juga merangsang pengeluaran hormon adrenalin dan homosistina. Hormon adrenalin memudahkan proses pembekuan darah. Ini boleh menyebabkan serangan sakit jantung berlaku. Mengikut satu lagi kajian yang dilakukan di Universiti Duke, tekanan boleh menyebabkan pembuluh darah koronari menguncup dan hal ini meningkatkan risiko individu diserang sakit jantung koronari. Homosistina pula adalah asid amino yang sering dikaitkan dengan penyakit jantung koronari. Justeru, peningkatannya semasa stres meningkatkan risiko diserang penyakit ini.

Web MD Health bertarikh 25 September 2000 melaporkan, mengikut beberapa kajian, mereka yang mengalami tekanan yang kronik mempunyai kadar sel putih yang rendah. Sel-sel putih adalah sebahagian daripada sistem pertahanan dalam darah. Penurunan kadarnya mendedahkan individu itu kepada infeksi kuman.

Nabi Yusuf yang Cekal
Nabi Yusuf adalah contoh yang baik bagi semua manusia. Semasa masih kecil, saudara-saudara beliau berdengki dengan beliau. Akhirnya, mereka bersepakat membuang beliau ke dalam sebuah telaga buruk.

Nabi Yusuf ditemui oleh sekumpulan ahli perniagaan. Mereka memungutnya dan menjualnya kepada Raja Mesir yang bernama Qithfir dengan harga yang murah. Tuhan menceritakan dalam surah Yusuf ayat 20 yang bermaksud, “Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah iaitu beberapa dirham sahaja dan mereka tidak tertarik hati kepadanya.”

Selepas beberapa lama hidup di istana raja, beliau difitnah dan dipenjarakan. Tuhan memberitahu dalam surah Yusuf ayat 35 yang bermaksud, “Kemudian timbul dalam fikiran mereka, setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka sepatutnya memenjarakannya hingga ke satu waktu tertentu.”

Semasa mengharungi ujian yang datangnya bertubi-tubi ini, beliau bersabar tanpa keluh kesah. Berkat kesabaran dan kecekalan itu akhirnya beliau dibebaskan dan menjadi Raja Mesir. Tuhan menyatakan dalam surah Yusuf ayat 56 yang bermaksud, “Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir. (Dia berkuasa penuh) untuk pergi ke mana yang dia kehendaki di bumi Mesir itu. Kami limpahkan rahmat kepada sesiapa yang Kami kehendaki dan Kami tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang melakukan kebaikan.” Memang benar. Tuhan tidak mensia-siakan kesabaran dan kecekalan manusia.
Mengikut kajian yang dilakukan oleh Carnegie Institute, “Dari kajian ke atas 10,000 orang, Carnegie Institute merumuskan, 15% kejayaan adalah berpunca daripada latihan teknikal. 85% ber-punca daripada personaliti. Aspek personaliti yang paling penting untuk kejayaan adalah sikap.”

0 comments… add one

Leave a Comment