Antara barang yang cepat
Sold Out dan berebut rakyat marhaen beli
Lihat Sini
PENGERTIAN
Jamadil Akhir memberi erti musim sejuk yang akhir. Dari segi bahasa, ia bermaksud penghabisan atau beku penghabisan. Bulan ini dinamakan sedemikian setelah musim kekeringan atau air menjadi beku telah berakhir. Pada ketika itu air yang pada mulanya beku telah beransur-ansur menjadi cair. Namun demikian, salji-salji atau air yang beku masih lagi kedapatan di sana-sini
PERISTIWA-PERISTIWA PENTING JAMADIL AKHIR
1. Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq telah meninggal dunia pada malam 22 Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah bersamaan 12 Ogos 634 Masihi ketika berumur 63 tahun dan telah disemadikan bersebelahan maqam Rasulullah s.a.w. Ketika hidup, beliau merupakan pemuda terawal yang menerima dakwah dan membenarkan kerasulan Baginda s.a.w. Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq mempunyai akhlaq yang mulia dan sanggup menginfaqkan seluruh harta dan kemewahannya pada jalan Allah sehingga tidak meninggalkan sebarang harta ketika matinya. Sebelum kematiannya, beliau telah melantik Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah Islam yang kedua menggantikan tempatnya.
2. Perlantikan Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah kedua pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah.
3. Berlakunya peperangan Yarmuk pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah. Peperangan ini telah diketuai oleh Khalid bin Al-Walid dan disertai tentera Muslimin seramai 45,000 orang yang menghadapi tentera Rom (Byzantin) seramai 240,000 orang. Di dalam peperangan ini telah menyaksikan separuh tentera Rom telah terkorban dan seramai lebih kurang 3,000 orang tentera Muslimin syahid di medan perang. Bagaimanapun tentera Muslimin yang dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid telah berjaya mengalahkan tentera Rom yang begitu ramai.
FADHILAT
Amalan-amalan ibadat sama ada yang fardhu mahupun yang sunat pada bulan Jamadil Akhir adalah sama dengan bulan-bulan yang lain. Tiada amalan-amalan yang khusus yang dianjurkan oleh Islam dalam bulan ini. Walau bagaimanapun, kita digalakkan untuk meningkatkan amalan dari masa ke semasa walau dalam bulan mana sekalipun.
Terdapat banyak lagi amalan sunat yang belum lakukan atau belum berkesempatan untuk melakukannya. Maka yang demikian, pada bulan ini adalah masa yang sesuai untuk kita mengamalkan ibadah-ibadah sunat yang mungkin kita belum atau tidak berkesempatan untuk melakukannya sebelum ini. Di samping kita menjaga dan meningkatkan kualiti amalan-amalan wajib, kita juga digalakkan agar memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang kita ketahui. Amalan-amalan sunat adalah sebagai penampung atau pelengkap kepada amalan-amalan wajib kita.
Di antara amalan-amalan sunat yang menjadi amalan Rasulullah s.a.w. sepanjang tahun ialah solat tahajjud, solat nafilah, puasa Isnin dan Khamis, sedekah, membaca Al-Qur’an dan lain-lain lagi.