≡ Menu

Sirah Dan Sejarah Nabi Yunus a.s

Tidak banyak cerita yang terkandung di dalam Al-Quran tentang Nabi Yunus a.s sebagaimana kisah tentang Nabi Musa, Yusuf dan lain-lain. Catatan yang diceritakan para sejarawan dan ahli tafsir tentang Nabi Yunus ialah nama sebenar beliau ialah Yunus bin Matta. Beliau telah diutuskan oleh Allah untuk berdakwah kepada penduduk di sebuah tempat yang bernama “Ninawa” penduduk tersebut bukan merupakan kaumnya dan tidak mempunyi sebarang ikatan persaudaraan darah dengan mereka.

Nabi Yunus a.s membawa ajaran tauhid dan iman kepada mereka, mengajak mereka agar menyembah kepada Allah S.W.T dan meninggalkan perbuatan menyembah berhala. Tetapi ajaran Nabi Yunus a.s itu merupakan hal yang baru dan belum pernah mereka dengar sebelumnya. Apatah lagi Nabi Yunus a.s adalah orang asing dan tidak seketurunan dengan mereka. Nabi Yunus a.s tidak dapat bertahan dengan lebih lama di tengah-tengah kaum Ninawa yang ingkar terhadap ajaran dan dakwahnya. Lalu beliau meninggalkan mereka dan berdoa agar mereka diberikan pengajaran oleh Allah S.W.T.

Sepeninggalan Nabi Yunus a.s penduduk Ninawa mulai melihat tanda-tanda yang mencemaskan seakan-akan ancaman Nabi Yunus a.s kepada mereka itu akan menjadi kenyataan. Mereka melihat keadaan udara disekeliling Ninawa makin gelap, dan wajah- wajah mereka bertukar menjadi pucat dan angin dari segala penjuru bertiup dengan kecangnya membawa suara gemuruh yang menakutkan. Dalam keadaan cemas dan ketakutan mereka keluar dari kota dan beramai-ramai pergi ke bukit-bukit dan padang pasir, seraya menangis memohon ampun dan rahmat Allah SWT agar dihindarkan dari azab dan seksaan-Nya. Allah SWT yang Maha Pengasih menerima doa dan permohonan mereka itu.

Selepas kejadian itu mereka mencari Nabi Yunus a.s tetapi Nabi Yunus a.s telah pergi menaiki kapal laut untuk membawa diri. Malangnya kapal laut yang dinaiki Nabi Yunus a.s itu dilanda taufan dan Nabi Yunus a.s menganggap itu adalah hukuman tuhan terhadap dirinya dan mengambil keputusan terjun ke laut yang akhirnya beliau ditelan oleh seekor ikan paus yang utuskan oleh Allah SWT.Setelah selesai menjalani hukuman, Nabi Yunus a.s kemudian dimuntahkan ke darat ke darat dalam keadaan kurus,lemah dan sakit.

Dengan rahmat Allah SWT di tempat Nabi Yunus a.s terdampar itu terdapat sebuah pohon labu yang akhirnya dijadikan makanan oleh Nabi Yunus a.s. Apabila Nabi Yunus a.s sembuh sepenuhnya beliau diperintahkan oleh Allah SWT agar kembali kepada kaum Ninawa di mana penduduknya mengharapkan kedatangan beliau untuk memimpin mereka kearah jalan yang benar dan diredhai oleh-Nya.

Comments

comments

{ 1 comment… add one }

Leave a Comment