Seratus ribu kali sehari jantung berdegup,
Berapa kali pula hati berzikir;
Daripada bercakap kosong baiklah senyap,
Itu tandanya orang berfikir.
Hendak tidur tidurlah mata,
Moga esokkan dirahmati;
Ilmu dicurah bagaikan permata,
Moga di Sana terus diberkati.
Duhai saudara janganlah bimbang,
Kudoakan hidup matimu diredhai;
Dakwah dan tintamu menjadi lambang,
Itu tandanya ilmumu dirahmati.
Seratus ribu kali sehari jantung berdegup,
Setiap nafas adakah zikir untuk-Nya;
Itulah bekalan di masa hidup,
Dihitung di akhirat sebagai penyelamatnya.
Bersatu hati atas tali Allah,
Menyebarkan dakwah kerana cinta pada-Nya;
Melalui pena kita berdakwah,
Moga di akhirat menjadi bekalannya.
Syukur sungguh mendapat sahabat,
Sahabat akhirat menyatukan hati;
Matlamatnya sama untuk bekalan akhirat,
Bila berpena harus berhati-hati.
Hidup ini cuma sementara,
Bila tiada hilanglah semuanya;
Hanya tinggal semangat membara,
Tanda kasih pada yang hidup untuk selamanya.
Kasihku pada pembaca melebihi diriku,
Kalian adalah penyambung dunia akhiratku;
Apa kesalahan maafkan daku,
Sepotong doamu penyeri akhiratku.
Bicara tentang Allah tiada penghujungnya,
Seperti berada di Taman-Taman Syurga;
Tenangnya jiwa selamanya,
Tutur katamu bak penghuni Syurga.
Cinta pada Allah seutuhnya,
Wangian cinta mendapat redha-Nya;
Berkasih sayang hanya kerana-Nya
Seperti berada di Taman Syurga-Nya.
Wajah berseri mendapat hidayah,
Rasakan dunia tak ke mana;
Hati terpaut hanya kepada Allah,
Moga diredhai bila ke Sana.
Kutinggalkan ilmu bukan untuk dibanggai,
Hanya semata kerana Allah dicintai;
Biar pembaca mendoakan kunanti,
Sebar luaskanlah hasil penaku ini.
Sama-sama mencari cinta Allah,
Di alam maya kita disatukan;
Saling bertarbiyah kerana-Mu Ya Allah,
Balaslah cinta kami itulah yang diaminkan.
Berbaik sangka sesama sendiri,
Sahabat akhirat sahabat sejati;
Amalan riak memakan diri,
Saling ingat mengingati menuju mati.
Orang bijak ingat mati,
Semasa hidup muhasabah diri;
Di dalam kubur tidak sendiri,
Amal ibadat peneman diri.
Teman baik saling muhasabah diri,
Saling mengingati di hari mati;
Hatimu luhur hidup menerangi,
Moga amalan berkekalan hingga ke mati.
Karya: Ummu Sal
salam..mohon share ye..salam ukhwah..(^_^)..