Santapan rohani merupakan satu keperluan yang tidak boleh diabaikan sama
sekali. Rohani tanpa santapan seumpama jasad tanpa makanannya. Tanpa santapan untuk rohani, ia akan menjadi lemah, layu dan mati sebelum berjaya di dalam perjalanan ini. Santapan rohani hanya sempurna dengan adanya hubungan yang terus menerus dengan Allah swt, ingat dan bersyukur kepadaNya serta melaksanakan ibadat dengan sebaik-baiknya.
Sabda Rasulullah saw:
“Sesungguhnya Allah telah berfirman: Dan tidak mendekat seorang hambaKu
kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Kusukai daripada menjalankan kewajipannya, dan selalu hambaKu mendekat kepadaKu dengan melakukan sunat-sunat sehingga Kusukainya. Maka apabila Allah telah kasih kepadanya, Akulah yang menjadi pendengarannya dan pengelihatannya, dan sebagai tangan yang dipergunakannya dan kaki yang dijalankannya.” (Bukhari)
Nyatalah dari hadith ini bahawa perkara yang paling utama untuk dilakukan di
dalam perjalanan ini ialah menunaikan kewajipan yang ditetapkan Allah kepada
kita. Kewajipan itu meliputi perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dan
juga yang berhubungan dengan sesama manusia. Resapkanlah ke dalam hati
sanubarimu setiap masa dan pengaruhilah dirimu agar ia tabah dan tawakkal
menjalankan perintah Allah sehari-hari.
Di samping menitik-beratkan amalan-amalan fardhu, kita juga hendaklah tekun
dan istiqamah dalam mengerjakan amalan-amalan sunat. Ibadat sunat yang paling utama kita tekankan selain dari sembahyang berjemaah ialah menghidupkan sebahagian dari waktu malam semata-mata untuk menyembah Allah. Pendidikan jiwa di waktu malam dengan adanya sembahyang tahajjud, doa dan pembacaan Al-Quran disertai dengan keteguhan jiwa dan kekuatan hati mampu membentuk peribadi insan yang sanggup menanggung tanggungjawab dan kewajipan yang dipikulkan kepadanya – itulah bebanan yang dipusakai dari para nabi dan para rasul. Cubalah bayangkan, di saat orang lain sedang nyenyak dibuai mimpi, kita bangkit untuk mengingati Allah. Di dalam gulita malam kita mengabdikan diri kepada Tuhan, lantas terungkaplah madah:
Hati yang selalu mengingatiMu,
Tidak memerlukan ubur dan lampu,
WajahMu yang selalu menjadi idaman itulah alasan kami,
Pada hari ketika manusia mengemukakan alasan (kiamat).
Saudara-saudaraku, cubalah sedaya-upayamu untuk bersembahyang tahajjud, kalau pun tidak setiap malam, sekurang-kurangnya sekali seminggu. Bayangkanlah ganjaran keredhaan Tuhanmu yang bakal kau kecapi dengan kesanggupanmu untuk mengorbankan tidurmu yang enak itu semata-mata keranaNya. Hayatilah firman Allah mengenainya:
“Dan pada sebahagian malam hari, bersembahyang tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.” (Al Israa’ : 79)
Fahamilah saudara-saudaraku, sesungguhnya kelebihan tahajjud itu adalah
kerana kesungguhanmu yang sanggup mengorbankan waktu tidurmu untuk beribadat kepada Ilahi. Selain dari itu, sesungguhnya kegelapan dan kesunyian malam itu menambahkan lagi kedamaian di jiwamu.
Selain dari sembahyang malam, jagalah sembahyang-sembahyang sunat yang lain seperti sembahyang witir, rawatib, dhuha, taubat dan tasbih. Amalan zikir,
termasuklah membaca Al-Quran, perlulah kau jaga. Tetapkanlah dirimu dalam
berzikir – menyebut dan mengingati Allah sebelum terbit matahari dan sebelum
terbenamnya, juga di masa-masa yang lain. Firman Allah:
“Dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya dan bertasbih pulalah pada waktu-waktu di malam hari dan pada waktu-waktu di siang hari, supaya kamu merasa senang.” (Thaa Haa : 130)
Selain dari sembahyang-sembahyang sunat dan zikir, peliharalah juga
amalan-amalan sunat yang lain seperti puasa dan sedekah. Tetapkanlah dirimu
berpuasa sunat terutamanya tiga hari dalam sebulan iaitu di hari-hari putih
(13, 14 dan 15 haribulan dari bulan Qamariah). Tabahkanlah hatimu untuk tetap
berpuasa kerana sesungguhnya orang yang berpuasa akan merasai dua
kegembiraan: tatkala berbuka puasa dan yang lebih utama ialah ketika mengadap Tuhan yang Maha Penyayang.
Lazimkanlah dirimu juga untuk bersedekah kerana ianya adalah salah satu langkah untuk menghilangkan sifat kikir dari dirimu. Kekikiran merupakan salah satu sifat yang mesti dibuang oleh orang-orang yang mahu melangkah ke jalan menuju Allah.
Jika anda merasa sulit untuk mengerjalan amalan-amalan itu berterusan, maka
bersabarlah, tabahkanlah hati dan kuatkan iman. Pandanglah dirimu sebagai
seorang sakit yang harus berani dan tabah untuk menelan ubat yang sangat
pahit, dengan harapan ia akan sembuh kembali. Istiqamahlah dalam beramal di
samping menjaga hatimu dari perasaan malas, riya’, ujub dan takabbur.
Dalam beramal, anda juga harus berhati-hati dan berhemat. Janganlah kita
hanya mementingkan kuantiti amalan yang dilakukan tanpa memikirkan kualiti
dan pengabulannya. Apa gunanya amalan yang banyak sedangkan pintu
penerimaannya tertutup. Mungkin itu disebabkan kita tergesa-gesa dalam
mengerjakan ibadat tersebut tanpa khusyuk atau menghayatinya. Ataupun mungkin juga kerana timbul perasaan riya’ dan ujub yang segera membinasakan pahala amalan-amalan kita itu.
Tanda diterima amal ialah merasa senang melakukan ibadat dan bertambah puas menerima segala ajaran tuntutan Allah dan RasulNya. Buah dari amal ibadat di dunia ini ialah merasakan lazat manisnya amal itu sehingga terasa sebagai nikmat yang tidak ada bandingannya. Itulah permulaan bagi ganjaran Allah untuk setiap insan yang meneguhkan hatinya untuk menjalani jalan menuju Allah ini. Seseorang yang bersungguh-sungguh dalam niat amalnya dapat merasakan nikmat amal itu sebelum mengerjakannya. Apabila ia ikhlas dalam melakukannya, ia akan merasa manisnya amal ketika melakukannya. Amalan yang sedemikianlah yang akan menghasilkan kurniaan Allah.
Firman Allah:
“Dan barangsiapa yang mensucikan dirinya, sesungguhnya ia mensucikan diri
untuk kebaikan dirinya sendiri.” (Faathir : 18)
Firman Allah lagi:
“Barangsiapa yang mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya.” (Al Kahfi : 110)