Nabi Musa a.s adalah seorang bayi yang dilahirkan dikalangan Bani Isra’il yang pada ketika itu dikuasai oleh Raja Fir’aun yang bersikap kejam dan zalim. Nabi Musa bin Imron bin Qahat bin Lawi bin Ya’qub adalah beribukan Yukabad. Setelah meningkat dewasa Nabi Musa a.s telah beristerikan dengan anak perempuan Nabi Syu’aib yaitu Shafura. Dalam perjalanan hidup Nabi Musa a.s untuk menegakkan Islam beliau telah diketemukan dengan beberapa orang nabi diantaranya ialah bapa mertuanya Nabi Syu’aib a.s, Nabi Harun a.s dan Nabi Khidhir a.s. Di sini juga diceritakan tentang perlibatan beberapa orang nabi yang lain di antaranya Nabi Somu’il a.s serta Nabi Daud a.s.
Firaun memerintahkan kesemua bayi lelaki yang lahir pada waktu itu dibunuh tetapi dengan keizinan Allah S.W.T, Nabi Musa a.s terselamat setelah dihanyutkan oleh ibunya di sungai Nil yang kemudiannya dipelihara oleh isteri Firaun iaitu Aisah dan dibesarkan di istana firaun. Apabila meningkat dewasa Nabi Musa a.s keluar dari Mesir seorang diri dan berserah segalanya kepada Allah SWT. Setelah berjalan selama lapan hari lapan malam sampai terkupas kedua kulit tapak kakinya, tibalah Musa di kota Madyan iaitu kota Nabi Syu’aib yang terletak di timur jazirah Sinai dan teluk Aqabah di selatan Palestin. Nabi Musa a.s beristirehat di bawah sebuah pokok yang rendang bagi menghilangkan rasa letihnya kerana perjalanan yang jauh. Secara kebetulan Nabi Musa a.s telah menolong dua orang gadis mengambil air untuk di beri minum kepada ternakan mereka. Akhirnya Nabi Musa a.s berkahwin dengan salah seorang daripada gadis itu. Gadis itu adalah anak Nabi Syu’aib a.s
Setelah sepuluh tahun lebih Nabi Musa a.s meninggalkan Mesir tanah airnya daripada buruan Firaun, akhirnya beliau pulang atas wahyu dari Allah SWT dan diperintahkan berdakwah kepada Fir’aun. Kerana sifat sombong dan ingkar firaun, firaun mengejek dan mempersendakan Nabi Musa a.s dalam usahanya memerangi dan membendung pengaruh Nabi Musa yang semakin bertambah semenjak Nabi Musa a.s mengalahkan tukang-tukang sihir kaum Fir’aun. Akibat daripada itu firaun juga turut menindas kaum Nabi Musa a.s iaitu Bani Isra’il yang akhirnya meninggalkan Mesir menuju ke Baitul Maqdis dengan melalui Laut Merah yang terbelah atas izin Allah dan bercantum semula apabila firaun dan bala tenteranya melalui jalan itu.
Nabi Musa a.s berjanji kepada Bani Isra’il yang ditinggalkannya di bawah pimpinan Nabi Harun a.s bahwa ia tidak akan meninggalkan mereka lebih dari tiga puluh hari, dalam perjalananya ke Thur Sina untuk bermunajat dengan Tuhan (Allah S.W.T). Bani Isra’il merasa kecewa dan menyesal atas kelewatan Nabi Musa a.s kembali kepada mereka.
Keadaan yang tidak puas dan bingung yang sedang membelengu kelompok Bani Isra’il itu, digunakan oleh seorang munafiq, bernama Samiri yang telah berjaya menyusup ke tengah- tengah mereka dan menghasut mereka dengan kata-kata bahwa Musa telah tersesat dalam tugasnya mencari Tuhan bagi mereka dan bahawa dia tidak dapat diharapkan kembali dan kerana itu dianjurkan oleh Samiri agar mereka mencari tuhan lain sebagai ganti dari Tuhan Musa. Dengan kemahirannya mengukir patung itu ia membuat patung sehingga dapat mengeluarkan suara menguap seakan-akan anak lembu yang hidup.
Nabi Harun a.s tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghadapi kaumnya yang telah menjadi murtad itu, karena ia bimbang kalau-kalau keadaan menjadi lebih rumit. Dalam pada itu, Nabi Musa a.s setelah selesai bermunajat dengan Tuhan dan dalam perjalanannya kembali ke tempat di mana kaumnya sedang menunggu memperolehi isyarat tentang apa yang telah terjadi dan dialami oleh Nabi Harun selama ketiadaannya. Nabi Musa sangat marah dan sedih hati tatkala ia tiba dan melihat kaumnya sedang berpesta mengelilingi anak patung lembu emas itu dengan menyembahnya dan memuji-mujinya. Kerana sangat marah dan sedih Nabi Musa a.s melemparkan kitab Taurat dan menarik rambut Nabi Harun a.s kerana menganggap beliau telah gagal dalam tugasnya.
Selepas kejadian itu Nabi Musa a.s menyuruh mereka kembali bertaubat dan mengajarkan isi taurat kepada mereka dan menghalau samiri si pembuat patung itu. Tetapi sifat kekufuran di kalangan umat Nabi Musa a.s amat tebal dan sukar dikikis sehingakan sewaktu Nabi Musa a.s menyeru mereka menyembah Allah SWT mereka ingin diperlihatkan rupa tuhan iaitu Allah SWT.
Pada suatu hari Nabi Musa a.s diperintahkan oleh Allah SWT untuk pergi ke bukit Tursina dan membawa Nabi Harun a.s bersamanya dan dengan takdir Allah SWT Nabi Harun a.s wafat dan Nabi Musa a.s pulang seorang diri. Setelah peristiwa itu masyarakat Bani Israil menuduh Nabi Musa a.s telah membunuh adiknya iaitu Nabi Harun a.s. Nabi Musa a.s menafikan tuduhan itu dan berdoa kepada Allah SWT supaya memperlihatkan bukti-bukti kepada kaumnya bahawa Nabi Harun a.s meninggal bukan akibat dibunuh beliau.
Allah SWT memakbulkan doa Nabi Musa a.s, dengan memperlihatkan kepada Bani Israil tempat tidur turun dari langit dan tergantung di antara langit dan bumi, barulah mereka percaya bahawa Nabi Musa a.s tidak membunuh Nabi Harun a.s. Permintaan mereka selalu dikabulkan oleh Allah SWT tetapi mereka tetap derhaka kepada-Nya dan sikap itu dimiliki oleh mereka sehingga sekarang. Nabi Musa a.s wafat di padang Tih ketika berusia 120 tahun.
http://www.youtube.com/watch?v=E5UzCPtTopM