≡ Menu

Fatwa Ulama Tentang Kewajipan Menolong Bumi Palestin ?

Antara barang yang cepat Sold Out dan berebut rakyat marhaen beli Lihat Sini

KENAPA KITA PERLU MENOLONG PALESTIN?

Ada beberapa perkara yang perlu dipandang apabila kita berbicara isu Palestin dasawarsa kini. Kenapa perlu sangat kita menolong membebaskan Palestin dan rakyatnya sebagaimana yang difatwakan wajib oleh kebanyakan ulama daripada belenggu penjajah Gerakan Zionis.

Ini berkisar kerana beberapa faktor seperti terdapatnya  Baitul Maqdis di Palestin (Kiblat umat Islam yang pertama dan masjid yang ketiga paling mulia disisi Allah). Ianya juga merupakan tempat diperjalankan baginda Raslullah s.a.w. peristiwa “Israk Mikraj” daripada Mekah ke Palestin dalam satu malam.

Disitulah juga tempat terakhir Rasulullah s.a.w. berpijak sebelum diangkat mi’raj betemu Allah taala untuk menerima wahyu agung tentang pensyariatan solat fardhu lima waktu. Bahkan bumi Palestin merupakan bumi para Nabi dan Rasul serta aulia’Allah yang salih.

Namun tanggungjawab kita untuk membebaskan Palestin daripada belenggu Zionis yang paling utama dan paling besar adalah kerana disana terdapatnya saudara-saudara seislam dan seakidah dengan kita yang sedang dizalimi.

Itulah prioriti (keutamaan) yang paling besar dan sebab apa dikalangan para ulama samada yang terdahulu atau terkemudian mewajibkan seluruh umat Islam untuk bersama-sama berjihad dan menolong rakyat Palestin mendapatkan kembali hak mereka yang telah dirampas dan diceroboh oleh orang asing (Zionis).

MEMBEBASKAN PALESTIN MERUPAKAN KEWAJIPAN SYARA’ TERHADAP SELURUH UMAT ISLAM

Sesungguhnya Allah taala ada berfirman :

والمؤمنون والمؤمنات بعضهم أولياء بعض

“Dan orang mukmin lelaki serta perempuan setengah mereka merupakan penlong kepada setengah yang lain”. (Surah al-Taubah : 71)

Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya menyatakan :

“Hati-hati mereka (orang-orang mukmin samada lelaki atau perempuan) adalah satu dari sudut berkasih sayang. Mereka menolong antara satu sama lain samada dalam keadaan senang, susah dan berhenti daripada melaksanakan kekerasan dan perkara yang ditegah”.[1]

Dalam ayat yang lain, Allah taala menceritakan tentang kewajipan menolong sesame muslim merupakan petunjuk kepada benarnya iman seseorang kepada Allah taala dan sempurnya Islam yang ada pada dirinya.

Firman Allah taala :

وإن استنصروكم في الدين فعليكم النصر

“Jika mereka (orang-orang beriman yang lain) meminta pertolongan daripadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan”. (Surah al-Anfal : 72)

Imam Ibnul ‘Arabi (Fuqaha’ Maliki) dinaqalkan kalamnya dalam kitab Tafsir al-Qurtubi ada menyatakan :

“Diwajibkan untuk semua menolong kaum muslimin kecuali mereka yang lemah. Ini kerana umat Islam mempunyai hak kekuasaan yang wajib untuk ditegakkan dan ditolong sehingga tidak didapati daripada kalangan umat Islam walaupun seorang yang terkecuali melainkan keluar untuk menyelamatkan mereka yang lain (ditindas) sekiranya bilangan kita mampu menanganinya. Ataupun wajib mengeluarkan seluruh harta kekayaan kita untuk menolong mereka (yang ditindas) sehingga tidak ada seorang pun yang terkecuali walaupun satu dirham bersama mereka”.[2]

Nabi s.a.w. pernah bersabda untuk menolong sesama muslim daripada kezaliman (samada yang dizalimi atau yang zalim) :

انصر أخاك ظالما أو مظلوما. قالوا : يا رسول الله هذا ننصره مظلوما فكيف ننصره ظالما؟
قال : تحجزه عن الظلم

“Tolonglah saudaramu yang zalim dan dizalimi. Lalu para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah ! Kami  boleh menolong mereka yang dizalimi tetapi bagaimana kami menolong mereka yang zalim? Maka Rasulullah s.a.w. berkata : Tegahkan dirinya daripada melakukan kezaliman”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Tirmizi)

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. ada bersabda :

المسلم أخو المسلم لا يظلمه ولا يخذله ولا يحقره

“Seorang muslim merupakan saudara muslim (yang lain), tidak boleh menzaliminya, tidak boleh mengkhianatinya dan tidak boleh menghinanya”.  (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bahkan Nabi s.a.w. dengan tegas melarang daripada kita mengkhianati dan membiarkan saudara muslim kita yang lain bersendirian sebagaimana sabda baginda s.a.w :

ما من امرأ مسلم يجذل امرأ مسلما في موطن ينتقص فيه من عرضه وينتهك فيه من حرمته إلا خذله الله تعالى في موطن يحب فيه نصرته, ما من أحد مسلما ينصر مسلما في موطن ينتقص فيه من عرضه وينتهك 

فيه من حرمته إلا نصره الله في موطن يحب فيه نصرته

“Bukanlah seorang muslim yang membiarkan seorang muslim yang lain di tempatnya dalam keadaan direndah-rendahkan maruah dan dinodai kehormatan mereka, kecuali Allah taala akan membiarkan mereka juga di tempat yang mereka suka untuk mendapatkan pertolongan.. Dan tidaklah seorang muslim yang menolong seorang muslim yang lain di tempatnya dalam keadaan direndah-rendahkan maruahnya dan dinodai kehormatan mereka melainkan Allah akan menolong juga mereka ditempat yang mereka suka untuk mendapatkan pertolongan”. (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

FATWA PARA ULAMA TENTANG KEWAJIPAN BERJIHAD DAN MENOLONG SAUDARA SEISLAM KHUSUSNYA DI PALESTIN

Dalam kitab “Majmu’ah Rasail al-Banna” مجموعة رسائل للإمام حسن البنا dalam “Risalah Jihad” [3]  (1948M) sengaja ditulisnya tajuk tersebut pada tahun itu sempena peristiwa khusus yang sedang berlaku di Palestin. Beliau ada menyatakan :

“Islam mewajibkan jihad keatas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas setiap bahu muslim. Amanah menyampaikan risalah agama adalah risalah pemberi petunjuk kepada manusia menuju kearah pintu gerbang keadilan dan kebenaran”.

Beliau ada manukilkan beberapa pendapat dikalangan para fuqaha’ terdahulu dan terkemudian tentang kewajipan menolong umat Islam yang ditindas, antaranya :

  1. Dalam kitab“Majma’ al-Anhar fi Syarh Multaqal Abhar”disisi pandangan mazhab Hanafi :

“Apabila musuh menguasai salah satu daripada negeri umat Islam maka jihad menjadi fardhu ain keatas seluruh umat Islam. Maka dibolehkan seorang isteri keluar berjihad tanpa meminta izin si suami manakala seorang hamba juga dibolehkan keluar berjihad tanpa izin majikannya bahkan si anak juga boleh keluar berjihad tanpa izin daripada kedua ibu bapanya”.

Dalam kitab “al-Bahru” juga ada menyebutkan :

“Sekiranya seorang wanita yang ditahan (menjadi tawanan perang) dikawasan Timur maka wajib keatas mereka-mereka yang berada di Barat sekalipun untuk membebaskannya”.

Promosi hanya RM1 sahaja grab now !!
  1. Imam Ahmad bin al-Sowi al-Misri menulis dalam kitabnya tentang kefardhuan jihad iaitu“Balaghatul Salik li Aqrabul Masalik”disisi pendapat mazhab Maliki :

“Berjihad pada jalan Allah taala untukmeninggikan agama-Nya adalah fardhu kifayah iaitu apabila telah melakukannya sebahagian daripada umat Islam maka telah gugurlah kefardhuan keatas mereka yang lain. Akan tetapi ianya akan menjadi fardhu ‘ain ke atas semua umat Islam sebagaimana kefardhuan solat dan zakat”. 

“Maka wajib keatas mana-mana ketua negara umat Islam menolong dan menyerang musuh yang telah mendatangi negara umat Islam bahkan setiap umat Islam yang berdekatan dengan negara tersebut wajib menolong mereka sekiranya rakyat negara tersebut lemah dan tidak berdaya. Para wanita dan hamba wajib bersama keluar menolong walaupun tidak mendapt keizinan daripada suami dan majikannya”.

  1. Imam al-Nawawi dalam kitab“al-Manahij”yang dikarang disisi pandangan mazhab Syafie :

“Adalah jihad pada zaman Rasulullah s.a.w. merupakan fardhu kifayah, dan ada pendapat yang mengatakan fardhu ‘ain. Dan jihad selepas zaman Rasulullah s.a.w. terhadap orang kafir ada dua keadaan :

  1. i) Fardhu kifayah jika dalam negeri kuffar. Maka apabila sebahagian daripada orang Islam telah menunaikannya maka gugurlah kefardhuan daripada mereka yang lain.
  1. ii) Jika mereka masuk kedalam negeri kita (negeri umat Islam) maka wajib untuk rakyat negara tersebut untuk mempertahankannya daripada diceroboh sedaya yang ada. Maka sekiranya mampu maka wajib mempersiapkan diri untuk berperang walaupun melibatkan orang-orang miskin, remaja, orang yang berhutang, hamba tanpa izin (tuannya/majikannya)”.
  1. Ibnu Qudamah dalam kitabnya“al-Mughni”ada menulis tentang hukum berjihad disisi pendapat mazhab Hanbali :

“Jihad merupakan fardhu kifayah, jika telah menunaikannya sebahagian daripada orang Islam maka gugurlah kefardhuan tersebut kepada yang lain. Berjihad mempunyai tiga keadaan :

  1. i) Apabila telah bertemunya dua kelompok tentera dan berhadapan dua saf tentera(antara muslimin dan kuffar) maka haram keatas sesiapa yang berada disitu untuk mengundurkan diri bahkan wajib menolong berjihad pada keadaan tersebut.
  1. ii) Apabila telah masuk golongan kuffar kedalam negeri mat Islam maka wajib kepada seluruh umat Islam dalam negara tersbut untuk memerangi mereka dan mengalahkan musuh

.

iii) Apabila ketua (pemimpin negara) keluar bersama satu puak (tentera) maka wajib juga ikut serta keluar berjihad bersama mereka.

“Abu Abdullah (Imam Ahmad bin Hanbal) berkata : Tidak aku ketahui akan sesuatu amal selepas daripada kefardhuan-kefardhuan yang lebih utama daripada berjihad bahkan peperangan di laut itu lebih utama berbanding di daratan”.

  1. Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf r.h (Mufti Mesir yang lepas) telah mengeluarkan fatwa yang bertarikh 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 1 Januari 1956 melalui Lajnah Fatwa Al-Azhar, Mesir menyatakan :

“Palestin merupakan negara Islam manakala Israel telah melakukan pencerobohan keatasnya. Seluruh dunia Islam diwajibkan untuk menghidup dan menggerakkan semangat jihad dikalangan masyarakat Islam untuk membebaskan Palestin dan menegakkan hukum Allah serta menolong rakyatnya. Haram bagi sesiapa dikalangan umat Islam yang menolong Israel atau memuliakan mereka bahkan haram dalam apa jua sekalipun untuk membantu mereka mendapatkan walupun satu depa tanah Palestin. Mengiktiraf pembentukan negara haram Israel merupakan satu pengkhianatan kepada Allah dan Rasul serta seluruh umat Islam yang telah dipertanggugjawabkan untuk menjaganya. 

Oleh itu, wajib terhadap semua umat Islam walaupun berbeza pertuturan bahasa, warna kulit, bangsa, negara dan lain-lain untuk mengembalikan Palestin kepada rakyatnya yang sebenar. Serta wajid menolong untuk membekalkan senjata kepada para mujahidin yang berjuang dan pelbagai kelengkapan untuk menolong mereka berjihad pada jalan Allah”.

  1. Syeikhul Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud dalam kitab“al-Fatawa”[4]iaitu himpunan daripada fatwa-fatwa yang telah dikeluarkannya ada menyebutkan :

“Menyebarkan kalimah Tauhid (Islam) merupakan kewajipan umum kepada seluruh umat Islam begitulah juga untukmempertahankan negara umat Islam. Maka mengusir dan menghalau musuh daripada tanah umat Islam merupakan kewajipan. Mengusir Israel daripada Masjidil Aqsa dan daripada apa sahaja belenggu dan penjajahan dalam bumi umat Islam merupakan satu kewajipan. Ianya adalah satu perkara yang suci dan mulia bahkan wajib fardhu ‘ain keatas semua umat Islam”.

“Peperangan antara arab dengan Israel merupakan jihad dan dalam masa yang sama adalah mempertahankan hak dan maruah umat Islam yang telah ditindas dan diceroboh. Sesapa yang mati maka dinilai sebagai syahid disisi Allah. Rakyat Palestin ada yang terpaksa keluarmeninggalkan bumi sendiri kerana teruknya mehnah dan tribulasi yang menimpa mereka dalam pelbagai aspek. Maka wajib kepada semua negara-negara Islam yang ada untuk membantu mengembalikan hak mereka. Sekiranya ada mana-mana negara umat Islam yang tidak mengambil bahagian maka ia merupakan satu jenayah terhadap Allah dan Rasul-Nya”.

  1. Syeikh Yusuff al-Qardhawi dalam fatwanya[5]yang berkaitan dengan Palestin ada menyatakan :

“Aku ingin menegaskan bahawasanya bumi Palestin merupakan bumi umat Islam. Ianya bukan sahaja milik rakyat Palestin semata-mata tetapi milik umat Islam seluruhnya daripada satu generasi kepada generasi seterusnya. Sekiranya satu generasi telah mengabai dan menyalah-gunakannya maka haram untuk  seluruh umat Islam berputus asa daripada melepaskannya kepada musuh.

Sekiranya rakyat Palestin tidak mampu untuk mempertahankan hak mereka maka wajib kepada seluruh umat Islam yang lain untuk menolong mempertahankan hak tanah kelahiran mereka. Wajib menolong untuk melawan musuh dan mempertahankan Masjidil Aqsa”. 

“Sekiranya kita tidak mampu untuk turun berperang dan berjuang bersama mereka maka musuhilah mereka dengan pelbagai cara untuk menolong umat Islam dengan cara penerangan dan penyampaian maklumat secara menyeluruh. Maka mana mungkin rakyat Palestin sendiri yang sanggup untuk menggadaikan hak mereka (dengan menjual tanahair mereka sendiri)”. 

  

Firman Allah :

وما لنا ألا نقاتل في سبيل الله وقد أخرجنا من ديارنا وأبنائنا

“Mengapa kami tidak akan berperang pada jalan Allah sedangkan kami telah diusir dari kampung halaman kami dan dipisahkan dari anak-anak kami? (Surah al-Baqarah : 246)

Boleh rujuk lagi di artikel MANHAL lepas : Kewajipan Umat Islam Terhadap Baitul Maqdis

Begitulah beberapa pendapat para ulama tentang kefardhuan dan tanggungjawab sesama muslim untuk membantu saudara merka yang ditindas dan diceroboh hak mereka.

Wassalam…

Disediakan oleh :
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin


RUJUKAN

[1] Rujuk Tafsir Jami’ Ahkam Al-Quran karangan Imam al-Qurtubi : Jilid 8, m/s 203

[2] Ibid : Jilid 8, m/s 57

[3] Kitab Majmu’ah Rasail karangan Imam al-Syahid Hassan al-Banna : m/s 587-605

[4] Kitab al-Fatawa oleh Syeikhul Akbar al-Imam Abdul Halim Mahmud : Jilid 2, m/s 114-115

[5] Kitab Fatawa min Ajli Falestin karangan Syeikh Yusuff al-Qardhawi : m/s 13

==>>

Cara beli Rumah Lelong & Kerata lelong Murah sangat !!

0 comments… add one

Leave a Comment